Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) kini memasukkan penyebaran coronavirus ke dalam risiko sangat tinggi di China.

Wabak coronavirus (2019-nCoV) ini turut dikategorikan sebagai berisiko tinggi pada peringkat wilayah dan global.

Memetik AFP, WHO di Geneva ini membetulkan kesilapan laporan sebelum ini dan mengakui penyebaran coronavirus sebagai berisiko ke atas global.

Bagaimanapun, WHO masih tidak mengumumkan peringkat situasi darurat bagi kesihatan global berkaitan penyebaran coronavirus ini.

Hingga Selasa virus yang asalnya tersebar di Wuhan, Hubei ini mengorbankan 106 orang serta 4,515 orang disahkan positif jangkitan.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengakui virus ini berpotensi tinggi tersebar pada skala global.

Selain China, kes infeksi coronavirus ini tersebar di Kanada, Amerika Syarikat, Perancis, Sri Lanka, Thailand, Taiwan, Vietnam, Korea Selatan, Nepal, Singapura, Australia, Malaysia, Jepun, Kamboja dan Jerman.