PADAWAN: “Elakkan bersekongkol dengan tauke-tauke judi.”

Demikian amaran Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din kepada semua pegawai dan anggota PDRM Sarawak. Beliau mengingatkan setiap warga PDRM Sarawak untuk bebas dan bersih daripada elemen judi dan menolak ‘pemberian’ daripada penjenayah berkenaan.

“Jangan hanyut dengan kesenangan yang ditawarkan oleh tauke judi,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke IPD Padawan di sini, baru-baru ini.

Ramli menambah, PDRM Sarawak juga harus mengekang habis-habisan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Katanya, banyak masalah dadah berlaku, namun tindakan yang diambil tidak mencukupi untuk mencegahnya.

Justeru, katanya, setiap tangkapan harus direman untuk mengesan pengedar dadah. Penyiasatan agresif juga katanya, harus dilakukan oleh setiap IPD serta menggandakan usaha untuk menyelesaikan kes.

“Tindakan pencegahan jenayah yang paling penting ialah melalui penangkapan penjenayah dan keluarkan mereka daripada masyarakat,” ujarnya.

Beliau menasihati semua balai untuk bekerjasama mencegah jenayah dan saling menasihati tanpa mengira bahagian dan cawangan.

“Jangan jadi duri dalam daging, bekerja dengan jujur dan amanah,” katanya.

Hadir sama Ketua Jabatan Sumber Strategik Dan Teknologi Sarawak Asisten Komisioner Nik Mahmood Wan Mustaffa, Ketua Polis Daerah Padawan Supt. Aidil Bolhassan dan timbalannya Deputi Supt. Lim Jaw Shyong.