KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia pada Isnin mengesahkan menerima laporan berhubung seorang warga China yang bekerja di Bintulu mempunyai simptom novel coronavirus (2019-nC0V).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah terkini suspek yang mempunyai simptom 2019-nC0V di negara ini dan mendapat rawatan adalah seramai lima orang di mana kesemuanya adalah warga China.

Jelas beliau, berhubung suspek 2019-nC0V, individu terbabit pada masa ini sedang menerima rawatan rapi di Hospital Bintulu dan dalam keadaan stabil.

“Pesakit berkenaan berada dalam keadaan stabil dan kita masih menunggu laporan makmal,” katanya di Kuala Lumpur pada Isnin.

Dr Dzulkefly menambah, rakyat di negara tidak harus panik dan bimbang mengenai kehadiran pelancong dari Wuhan, China yang memasuki Malaysia.

Katanya, rakyat juga tidak perlu mudah terpengaruh dan menyebarkan laporan berita palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan dan keadaan panik.