KUCHING: Satu daripada tiga permohonan tapak tanah perkuburan Islam di kawasan Demak Laut telah pun diluluskan Kerajaan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata tapak perkuburan Islam di Kampung Sungai Bako telah pun diluluskan dan dua lagi masih menunggu kelulusan masing-masing di Kampung Tanjung Bako dan Beradik Semilang.

“Kita telah memohon tiga buah tapak perkuburan baru di Demak Laut iaitu di Bako, Tanjung Bako dan Beradik-Semilang. Kita telah membuat permohonan sejak 5 dan 6 tahun lalu.

“Alhamdulillah, buat masa ini sebuah tapak perkuburan baru sudah pun diluluskan pihak kerajaan iaitu di Kampung Sungai Bako seluas 60 ekar.

“Ini merupakan tanah perkuburan pusat yang akan digunakan di seluruh Zon Bako,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Pusat Khidmat N5 Demak Laut selepas menyampaikan sumbangan kepada waris yang mempunyai pusara di Tanah Perkuburan Islam Pending pada Jumaat.

Dalam perkara yang sama, Dr Hazland yakin bahawa dua lagi tanah perkuburan Islam yang dipohon akan diluluskan Kerajaan Sarawak.

“Kita yakin bahawa permohonan tanah Perkuburan Islam di Kampung Tanjung Bako dan Kampung Beradik-Semilang akan diluluskan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Seramai 9 orang waris daripada 23 pusara yang rosak menerima sumbangan kepada waris untuk digunakan bagi membaik pulih pusara ahli keluarga yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pending.

Sementara itu, salah seorang penerima Rabaih bt Kadir dari Kampung Tabuan Hilir melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Hazland di atas pemberian sumbangan ini yang boleh digunakan untuk membaik pulih pusara yang telah rosak.

“Saya berasa bersyukur dan terima kasih di atas bantuan daripada ADUN Demak Laut.

“Ianya untuk meringankan bebanan saya dan keluarga dengan memperbaiki batu nisan ataupun perkuburan keluarga di Tanah Perkuburan Islam Pending,” katanya.