KUCHING: Penduduk Sarawak harus berasa bangga apabila negeri ini tidak ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi moden kerana dipacu menggunakan teknologi yang seiring dengan zaman.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau baharu sahaja melancarkan perkhidmatan bas berkuasa hidrogen percuma selain bas elektrik di jalan raya bandar raya Kuching.

“Bas berkuasa hidrogen ini adalah yang pertama di Asia Tenggara malah negara jiran juga kini sedang bergerak ke arah pengangkutan awam mesra alam.

“Dalam bidang kehakiman pula, mahkamah kita berada di hadapan di Malaysia apabila menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh SAINS untuk membantu pentadbiran ketika menegakkan keadilan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2020 yang disambut pada 25 dan 26 Januari lepas.

Tegas Abang Johari, badan kehakiman Sarawak menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu mahkamah memutuskan hukuman yang sesuai bagi kesalahan jenayah, sekali gus diguna pakai sebagai penanda aras oleh sistem kehakiman negara.

“Dalam sistem pentadbiran tanah pula, kita mempunyai LASIS yang diyakini pertama di Malaysia yang dapat menunjukkan surat milik tanah semasa pendaftaran dilakukan.

“Malah, aplikasi mudah alih LASIS juga boleh dimuat turun menerusi telefon pintar yang menyediakan maklumat dan perkhidmatan kepada orang ramai,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, Sarawak turut mendahului usaha dalam menghasilkan lebih banyak makanan sebagai tindak balas kepada seruan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan status keselamatan makanan negara.

“Kita telah menubuhkan sebuah Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Singapura yang dipanggil Statos. “Menerusi pejabat ini, wujudnya beberapa kerjasama perdagangan kita dengan negara republik itu sehingga membuahkan hasil,” ujarnya.

Abang Johari menambah, salah satu hasilnya ialah pengeksportan ikan tilapia dari Batang Ai ke Singapura dan diikuti oleh telur ayam apabila pensijilannya menepati piawaian negara itu.

“Ini merupakan beberapa pencapaian kita dalam tempoh tiga tahun selepas saya masuk ke pejabat (dilantik sebagai Ketua Menteri). “Sudah tentu banyak lagi perkara lain yang kita lakukan demi kebaikan seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Jelasnya lagi, perkara itu merupakan antara 81 inisiatif yang kini dilaksanakan sejak beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.