ASAJAYA: Perpaduan erat rakyat merupakan salah satu aspek penting dalam memacu kemajuan serta pembangunan Sarawak. Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, kekuatan negeri ini adalah semangat perpaduan dan keharmonian yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Justeru katanya, semangat itu perlu dijaga supaya masyarakat tidak berpecah belah dan sentiasa bersatu padu. “Semua rakyat Sarawak harus mengekalkan perpaduan yang telah kukuh sejak dulu lagi. “Jangan mudah terpedaya dengan hasutan atau pengaruh negatif daripada pihak luar yang cuba memecah-belahkan rakyat di negeri ini,” katanya pada Program Pautan Kasih Parlimen Kota Samarahan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Asajaya baru-baru ini.

Tambah Rubiah, masyarakat Cina juga perlu bersama-sama dengan kaum lain membina komuniti yang harmoni bagi kawasan Asajaya dan Sarawak amnya.

“Kita di Sarawak bertuah kerana dapat makan dan minum bersama-sama tanpa adanya perasaan negatif, ini semua adalah keistimewaan kita rakyat Bumi Kenyalang,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Rubiah turut menyerahkan bantuan kepada 100 penerima bagi kaum Cina dari kawasan Asajaya.