MUKAH: Satu lagi Projek Rakyat Pembinaan Medan Selera Matading kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 13 November 2020.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Haji Arbi, beliau berpuas hati terhadap kerja-kerja Pembinaan Medan Selera Matading yang kini sedang dilaksanakan di Jalan Mukah-Balingian.

“Projek Medan Selera Matading ini merupakan salah satu projek Program Rakyat yang telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Openg semasa mengadakan lawatan ke Mukah sebelum ini.

“Ini sekaligus memperlihatkan dengan jelas keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sosioekonomi rakyat berpendapatan rendah khususnya di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak Pembinaan Medan Selera Matading yang kini sedang dalam pembinaan pada Isnin.

Projek Medan Selera Matading mula dilaksanakan pada 13 Ogos 2019 dan dijangka siap pada 13 November 2020 di bawah selian Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

Projek ini akan dilengkapi dengan kemudahan asas lain bagi menjadikan Medan Selera Matading ini mempunyai kemudahan untuk masyarakat di Balingian menambah pendapatan harian.