KUALA LUMPUR: Rancangan Indonesia mendirikan ibu kota Nagara Rimba Nusa di Kabupaten Penajam Paser Utara dan sebagian Kabupaten Kutai Kartanegara, sangat dekat dengan Sarawak dan Sabah.

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu dalam wawancara dengan CNNIndonesia.com mengatakan Malaysia siap menyambut pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan Timur itu.

Dalam wawancara eksklusif portal tersebut pada Jumaat lepas di Jakarta, Mat Sabu berkata Malaysia gembira apabila mendapat tahu Indonesia mendirikan Nagara Rimba Nusa berdekatan wilayah Malaysia.

Ini menurut beliau, memberi limpahan keuntungan dan peluang ekonomi terutama membuat penerbangan Malaysia dan pelancongan terutama di Sabah dan Sarawak akan lebih sibuk.

Ditanya tentang sisi negatif akan rancangan pemindahan ibu kota ke Kalimantan Timur itu, Mat Sabu berkata beliau tidak nampak sisi negatifnya. bahkan, beliau yakin kerajaan Indonesia sudah siap dengan usaha mereka mengamankan ibu kota baru itu.

Beliau percaya, perpindahan ini membawa pembangunan lebih lestari bagi Indonesia pada masa depan.

Bercakap tentang langkah memperketat pengamanan di sempadan menyusul rancangan perpindahan ibu kota tersebut, Mat Sabu memberitahu CNNIndonesia.com bahawa ia merupakan langkah bertanggungjawab Malaysia untuk bersama-sama mengamankan kawasan khususnya di sempadan bersama kedua-dua negara.

Menurutnya, Malaysia berusaha memastikan supaya sempadan dan perairan kedua-dua negara lebih aman sehingga Indonesia tidak menanggung beban jika terjadi pelanggaran dari sisi Malaysia.

Tindakan ini juga menurut beliau sebagai tanda persahabatan yang begitu erat dan baik antara Malaysia-Indonesia.