KUALA LUMPUR: Mengambil kira perkembangan kes jangkitan koronavirus (2019-nCoV) di China, Kerajaan Malaysia mengumumkan keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China khususnya dari Wuhan, wilayah Hubei.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kemudahan imigresen merangkumi eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual.

Kenyataan itu menyebut kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah situasi normal.

Pejabat Perdana Menteri mengakui sejak timbulnya isu jangkitan koronavirus di China, Malaysia mengikut tatacara ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kerajaan juga mendapat nasihat pakar menghadapi jangkitan ini daripada merebak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini mengesahkan terdapat empat kes positif koronavirus melibatkan warga China di Johor.

Selain itu, empat individu lagi, dua warga tempatan dan dua warga China dimasukkan ke wad kuarantin, menunggu keputusan makmal untuk mengetahui status jangkitan.