KUCHING: Mengangkat wanita sebagai usahawan merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak, jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, memperkasa ekonomi wanita juga menjadi salah satu penyelesaian utama untuk mencapai pertumbuhan, dinamisme dan kebijaksanaan dalam ekonomi global.

Menurutnya, walaupun usahawan wanita memainkan peranan penting dalam landskap keusahawanan, jumlah mereka masih terlalu kecil.

“Oleh itu, ekosistem yang menyokong pertumbuhan keusahawanan dari permulaan diperlukan dalam landskap ekonomi yang semakin berkembang. “Usahawan wanita memainkan peranan penting untuk memperbaiki status dan pertumbuhan ekonomi negara melalui penciptaan produk baharu dan perkhidmatan,” katanya pada sidang media, semalam.

Fatimah turut mengumumkan bahawa Simposium Keusahawan Inovatif Global akan diadakan pada 7 Mac depan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual hadir pada simposium yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Fatimah memberitahu, simposium itu menyatukan pelbagai usaha melalui perkongsian amalan terbaik agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengukuhkan sokongan kepada keusahawanan wanita.

“Pada simposium ini, wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang akan berkongsi idea dan pemikiran dengan usahawan wanita yang hadir untuk melahirkan usahawan inovatif,” tambahnya.

Jelasnya lagi, beberapa perbincangan bersama-sama panel tentang Navigating the challenges of being an entrepreneur: Our success stories dan sesi perkongsian Good Design oleh Majlis Reka Cipta Malaysia. Simposium itu dianjurkan oleh Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Socoe, Lembaga Multimedia Sarawak serta Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.

Selain itu, Hari Wanita Sarawak 2020 akan diadakan pada 26 September juga di BCCK. Tema kali ini ialah “Wanita Sarawak Dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak” dan ia berkaitan dengan Konvensyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak Antarabangsa di Miri pada 11 hingga 13 September depan.