SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato’ Sri Huang Tiong Sii menegaskan bahawa anak Sarawak sudah cukup bijak untuk menguruskan hasil tanah Sarawak.

Menurut beliau, Sarawak tidak memerlukan orang luar untuk menguruskannya.

“Anak Sarawak cukup bijak menguruskan hasil tanah kita sendiri. Kita tidak perlukan orang luar.

“Kita boleh membuahkan hasil tanah Sarawak mengikut acuan sendiri. Acuan ini cukup jelas di bawah kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Cina Sarikei anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Sarikei.

Tambah Huang, bumi Sarawak yang kaya dengan hasil bahan mentah haruslah dipertahankan untuk generasi muda masa hadapan.

Huang turut menyeru seluruh warga Sarikei untuk memberi sokongan padu kepada Kerajaan GPS yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg.