KUALA LUMPUR: Kini, terdapat satu suspek jangkitan virus Corona atau virus 2019-nC0V dikesan di Bintulu.

Suspek jangkitan virus berkenaan warga China yang bekerja di Bintulu

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan individu berkenaan kini menerima rawatan dan stabil dalam jagaan rapi di Hospital Bintulu.

Bercakap pada sidang media selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan KLIA2 pada Isnin, Dzulkefly berkata, pihaknya kini menunggu laporan makmal berkaitan perkembangan suspek.

Setakat ini, jumlah suspek yang dikaitkan dengan simptom novel koronavirus ialah lima orang; seorang di Bintulu, dua kanak-kanak di Hospital Langkawi dan dua kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur.

Kesemua mereka warganegara China.

Zulkefly mengakui, sejak 10 Januari lepas sehingga 26 Januari, jumlah kumulatif kes pesakit di bawah siasatan (PUI) ke atas novel virus Corona ialah 37 kes melibatkan 18 warganegara Malaysia, 18 warganegara China dan seorang warganegara Jordan.

Daripada jumlah kes ini menurut Dzulkefly hanya satu kes positif 2019-nCoV.

Dzulkefly turut memberitahu bahawa negara mempunyai 54 alat pengimbas haba di pintu masuk negara bagi mengesan pelancong yang memasuki negara ini.

Menurut beliau, kerajaan akan memasang 12 alat pengimbas haba lagi.