KUCHING: Meskipun kerajaan Persekutuan menyifatkan bahawa wabak Wuhan Koronavirus sebagai tidak serius, namun Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan khusus dalam usaha mencegahnya dengan memperkenalkan borang pendaratan khas.

Menurut kenyataan media daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, borang ini merupakan salah satu konteks autonomi imigrasi Sarawak yang mewajibkan setiap individu termasuk warga Sarawak yang memasuki pintu utama negeri ini.

“Pengwujudan instrumen baharu iaitu borang pendaratan khas dalam konteks autonomi imigrasi Sarawak yang mewajibkan setiap individu termasuk warga Sarawak yang memasuki negeri ini melalui pintu utama.

“Mereka perlulah melakukan ‘self declaration’ keatas perjalanan mereka dalam tempoh 14 hari yang lepas.”

Kenyataan berkenaan juga menambah bahawa kerajaan Sarawak bersetuju untuk membekukan pengambilan pekerja daripada China dengan serta merta.

Dalam pada itu juga, kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menangani wabak ini seperti dalam siasatan kes yang pernah dilaporkan di Bintulu pada 26 Januari lepas namun bagaimanapun ia belum lagi disahkan.

Ujar kenyataan itu lagi, satu sesi taklimat berkenaan dengan tindakan-tindakan menghadapi wabak akan diadakan kepada pihak-pihak berkepentingan pada 28 Januari ini.

Kerajaan Sarawak sangat memandang serius berkenaan penularan wabak Wuhan Koronavirus kerana wabak ini disifatkan sangat bahaya dan mudah untuk merebak.

Sehingga kini belum ada vaksin yang khusus untuk merawat wabak dan orang awam dinasihati untuk mendapatkan rawatan segera di hospital sekiranya mengalami simtom-simtom seperti batuk atau demam.