PUTRAJAYA: Semak dahulu maklumat berkaitan 2019 novel koronavirus yang diterima dan pastikan ia benar sebelum dikongsikan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menurutnya, semua pihak harus berhati-hati apabila berkongsi sebarang maklumat di media sosial mengenai isu tersebut.

“…tolong semak dahulu maklumat yang kita dapat sebelum kongsi kerana kita lihat dua tiga hari yang lalu banyak paparan telah dikongsikan di mana kemudiannya didapati tidak benar dan palsu. Ia telah menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik Bernama, pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan kluster 2019 novel koronavirus yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah dilantik menjadi jurucakap mengenai isu virus tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa mengenai isu itu menurut Bernama.

Menurutnya, KKM juga akan mengeluarkan maklumat melalui dua saluran iaitu laman Facebook dan Twitter rasmi milik kementerian itu selain sidang media yang akan diadakan untuk berkongsi maklumat terkini.

“Sekurang-kurangnya sekali sehari kita adakan satu sidang media…jadi sekali lagi saya harap bahawa kita semua dapat lihat perkara ini dengan serius, kita hendak pastikan kita boleh buat yang terbaik,” katanya.

Setakat ini, empat individu disahkan positif koronavirus di negara ini.