KUCHING: Produk mentah daripada sagon dan durian dijangka boleh menjadi satu peluang pasaran baharu buat masyarakat Sarawak kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri berkata, sagon dan durian boleh diolah menjadi biskut dan percaya jika masyarakat berjaya menghasilkannya peluang untuk menembusi pasaran luar negara amat cerah.

“Sagon adalah kelapa yang diadun dengan tepung, dan sagon ini kita boleh makan dengan durian dan kita boleh buat ia sebagai kuih (biskut).

“Apa yang penting ialah durian ini boleh menjadi bahan mentah dan saya melihat sagon yang dibuat ini ialah halus, dan kita lihat jika ia dicampurkan dengan durian maka boleh menjadi biskut (cookies).

“Jika ini ada penyediaan (preservation) yang betul, boleh kita pasarkan dan secara kebetulan anak tempatan kita dari kampung ini sudah menjadi Pesuruhjaya Malaysia di United Kingdom, mungkin boleh membantu kita untuk dipasarkan di Eropah.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri majlis Ju Berambeh Makan Durian di Kampung Temedak Jalan Patingan, di sini pagi Isnin.

Abang Zohari juga mahu masyarakat di kampung khususnya kaum wanita mengubah dan membuat formula baharu bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan.

“Jadi apa yang kita perlu ialah masyarakat wanita kita dapat mengubah formula baharu untuk mereka menghasilkan produk ini yang sememangnya akan menjadi nilai yang tinggi.

“Selain itu produk ini juga perlu ditentukan kandungannya dari segi jumlah kalori dan sebagainya dan ia juga salah satu daripada R&D (Penyelidikan dan Pembangunan).” ujarnya.