Tanggal 18 Januari lepas, PRK Kimanis telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan kejayaan parti pembangkang iaitu UMNO-BN berjaya mengekalkan kemenangan bagi Parlimen Kimanis yang telah dimenangi sejak 2014. Kemenangan yang telah dijangka merupakan kemenangan ke – 5 bagi parti pembangkang dalam 10 PRK yang telah diadakan semenjak PRU 14 lepas.

Kemenangan UMNO-BN ini secara tidak langsung mencerminkan tahap sokongan rakyat kepada kerajaan yang sedia ada telah berubah daripada PRU 14 lepas. Fakta ini walaupun pahit perlu diterima oleh parti yang menerajui kerajaan iaitu PH. Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku? Adakah naratif Malaysia Baharu ini kurang promosi atau tidak sampai kepada rakyat? Sama-sama kita renungkan.

Di Sabah, setelah kekalahan Warisan – PH dalam PRK Kimanis lepas, tidak sampai seminggu kerajaan negeri yang diterajui oleh Warisan telah menarik balik pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang bakal berkuat kuasa pada Jun ini nanti. Keputusan drastik ini telah di ambil oleh kerajaan negeri kerana sedar ia merupakan isu yang menyumbang kepada kekalahan mereka semasa PRK Kimanis.

Manifestasi serta kuasa rakyat jelas menunjukkan bahawa mana-mana kerajaan atau identiti politik yang tidak mendengar keluhan serta denyut nadi suara rakyat bakal menerima nasib yang sama seperti Warisan – PH di Kimanis. Rakyat telah membantah dan kini kerajaan terpaksa akur kepada permintaan rakyat dengan menarik balik pelaksanaan PSS ini. Ini merupakan kemenangan rakyat.

Persoalannya, adakah PSS ini betul-betul satu pendekatan yang bakal memberi kerakyatan kepada warga asing di Sabah seperti dakwaan UMNO-BN semasa kempen PRK Kimanis? Apakah implikasi kepada penarikan pelaksanaan PSS ini?

Penarikan PSS ini seolah-olah ia mengesahkan dakwaan UMNO-BN berkaitan isu PSS semasa PRK di Kimanis adalah betul. Penarikan PSS oleh kerajaan negeri ini telah menambah lagi merit kepada UMNO-BN di Sabah setelah kejayaan mereka di Kimanis. Kegagalan utama Warisan – PH dalam isu PSS ini adalah disebabkan komunikasi serta strategi politik yang lemah. Kegagalan menjelaskan kebaikan serta wacana berkaitan PSS ini yang menjadi akar kepada kegagalan Warisan – PH di Kimanis.

Maka, persoalannya, apakah pengajaran utama daripada PRK Kimanis khasnya dan empat lagi PRK amnya?

Fakta yang tidak dapat disangkal menyumbang kepada kekalahan PH di lima PRK daripada sepuluh PRK yang telah diadakan selepas PRU 14 adalah kegagalan PH dalam mengendalikan komunikasi serta strategi politik mereka. Komunikasi serta strategi politik ini amat penting bagi mana-mana identiti politik yang bersaing dalam pilihan raya. Ia dapat menyekat satu-satu isu disalah tafsirkan oleh mereka yang menerima pandangan serta pendapat mengenai satu-satu isu seperti PSS.

Pemasaran politik juga merupakan salah satu lagi elemen yang penting untuk menyokong komunikasi serta strategi politik yang padu. Dalam spektrum persekitaran politik yang telah berubah, elemen pemasaran, komunikasi serta strategi politik ini amat penting untuk membantu sesebuah identiti politik untuk menyebarkan ideologi, perjuangan serta pencapaian masing-masing.

Apa pun, mana-mana identiti politik harus memperkasakan lagi pemasaran, komunikasi serta strategi politik masing-masing agar rakyat mendapat maklumat yang tepat. Bagi Sarawak, mana-mana identiti politik yang bakal bersaing pada PRN 12 nanti perlu bersedia dengan lebih awal bagi memperkasakan lagi pemasaran, komunikasi serta strategi politik. Kini, pengajaran atau iktibar daripada lima PRK bagi parti yang menerajui kerajaan boleh membuka mata mana-mana identiti politik di negara kita.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.