Saya banyak pergi ke pelbagai negara dengan menggunakan pesawat. Saya dapat lihat  perbezaan lapangan terbang dan kemudahannya. 

Saya juga dapat membezakan perbezaan layanan perkhidmatan di setiap lapangan terbang. Sekurang-kurangnya saya sudah melihat lebih daripada seratus lapangan terbang di dunia. 

Tempat pertama yang kita mendapat kesan tentang sesebuah negara ialah lapangan terbangnya, daripada ketika kita melihat halaman depan bangunannya hinggalah bagaimana kita dilayan di kaunter imigresen dan seterusnya mendapat kemudahan pengangkutan awamnya. 

Saya boleh katakan perkhidmatan imigresen di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) antara yang terbaik di dunia. Penumpang tidak perlu berbaris panjang.

Ini kisah benar. Pada 2012 isteri saya kembali daripada umrah dan seperti biasa terpaksa menggunakan lorong dan tangga berkenaan sambil membimbit beg yang berisi buah kurma.

Kejadian tidak diduga berlaku terhadapnya pada malam itu ketika turun dari pesawat yang tidak menggunakan laluan jambatan udara. Beliau tergelincir dari tangga pesawat dari atas ke bawah kerana tangga licin. 

Bayangkan kesannya kalau itu berlaku kepada warga emas, OKU atau kanak-kanak.

Jadi ini hanya satu contoh kejadian yang dapat menimpa penumpang jika ‘aerobridge’ tidak digunakan.

Bagi saya, menggunakan tangga melalui lorong kecil meletakkan KIA seolah-olah sebuah lapangan terbang di negara tidak membangun sedangkan negara kurang membangun yang pernah saya lawati pun menggunakan kemudahan ‘aerobridge’.

Justeru, apa-apa sahaja kemudahan dan perangai kakitangan yang mengendalikan perkhidmatan di lapangan terbang pasti meninggalkan kesan mendalam kepada penumpang khususnya pelancong asing, lebih-lebih lagi yang pertama kali mengunjungi negara kita. 

Pengalaman indah akan dikenang dan disebarkan, manakala pengalaman buruk juga dikongsikan dengan rakan, keluarga dan melalui media sosial. Malah, pengalaman buruk mungkin membawa kemudaratan kepada negara itu dari segi pelancongan. Kita mahu para pelancong terutama pelancong asing membawa kenangan indah di negara ini. Mereka sebenarnya ialah jurujual paling berkesan kerana daripada pengalaman menarik di negara ini, mereka pasti akan kongsikan dengan rakyat lain di negara mereka. Tidak hairan, daripada perkongsian pengalaman itu, mereka dapat memujuk dan mempengaruhi keluarga, rakan dan rakyat negara itu mengunjungi atau memulaukan negara ini.

Ketika mengunjungi Bangkok dua tahun lalu misalnya, saya dan keluarga terpaksa menunggu selama dua jam  hanya untuk sampai di kaunter imigresen.
Begitu ramai pelancong asing yang mengunjungi Thailand setiap tahun. Itu bukan mengejutkan, kerana saya telah ke negara itu sebanyak enam kali, banyak disebabkan tarikan budaya, sejarah dan makanannya.

Kredit: http://www.klia.com.my/

Ketika di sebuah lapangan terbang di Filipina lima tahun lalu, kakitangan keselamatan yang membuat pemeriksaan badan telah mendapati saya membawa balik wang negara itu yang senilai sekitar RM2,000.

“Ini menyalahi undang-undang. Saya akan hantar kamu ke pihak atasan,” katanya sambil meminta saya memberinya sekitar RM400. 

Saya ditahannya sekitar lima minit dan begitu risau akan segala kemungkinan. Selepas diberi sekitar RM200 dia pegawai itu pun berkata; “Jangan cakap apa-apa atau beritahu sesiapa,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan saya serik ke Filipina, apatah lagi, saya berasa tidak selamat ketika di ibu kota dan tempat lain di negara itu.

Kali pertama saya ke Myanmar adalah pada 2004. Saya terkejut dengan keadaan lapangan terbangnya di ibu kota Yangon yang bagai pada dekad 60-an di negara ini. Pegawai imigresennya duduk di atas kerusi plastik dan alat timbangnya mesin lama yang tidak lagi digunakan di negara ini atau negara maju. 

Itu belum lagi mengambil kira keadaan kotanya dan bas yang sudah terlalu usang dan tidak sepatutnya bergerak di jalan raya. Pasti keadaan di ibu kota Myanmar sudah jauh berubah kini.

Jadi, apabila ada gesaan agar penumpang AirAsia di  KIA dibenarkan menggunakan laluan jambatan udara saya setuju seratus peratus.

Terus terang, selepas sekian banyak berkelana dan mengembara di pelbagai negara dan menjejakkan kaki di ratusan lapangan terbang, hanya di Kuching saya dapati penumpang terpaksa menaiki tangga.

Saya sering tertanya-tanya mengapakah kita benarkan kejadian ini berlaku. Adakah hanya hendak menjimatkan RM1 daripada wang penumpang? 

Tidakkah kita sedar bahawa itu memalukan negara selain penumpang berasa tidak selesa. 

Kita menyasarkan untuk menarik lima juta pelancong. Untuk 2018 sahaja KIA mencatat 5.6 juta penumpang, dan naik menjadi 5.9 juta penumpang pada 2019.  

Seyogia diingat 20.1 juta pelancong asing mengunjungi negara ini  pada tahun lepas dengan membawa pendapatan RM66 bilion kepada negara. 

Jadi,memang wajar penguatkuasaan penggunaan laluan jambatan udara dilaksanakan segera termasuk bagi penumpang penerbangan domestik.

Bayangkan penumpang terpaksa menuruni atau menaiki tangga melalui pintu kecil di lapangan terbang itu? Inilah barangkali satu-satunya lapangan terbang yang berbuat demikian di seluruh dunia!

Tentu lebih tidak selesa lagi jika hujan. Bayangkan juga masalah yang dihadapi oleh OKU dan keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas yang tidak lagi kuat menaiki tangga? 

Tolonglah, prihatin dengan semua ini. Jangan abaikan kepentingan, kebajikan dan keselesaan pengguna.

Penumpang sebenarnya tidak kisah membayar RM1 waima RM2 demi keselesaan. 

Jangan rosakkan imej Kuching dengan tindakan yang tidak wajar. 

AirAsia, tolonglah beri perhatian terhadap permintaan ini yang sekali gus dapat membaiki imej anda sebagai sebuah syarikat ternama yang memang prihatin terhadap kebajikan penumpang.