KUCHING: Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, rakyat Sarawak perlu berbangga kerana hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati sesama kaum dan agama yang berlainan.

“Perbezaan kaum dan agama serta pendidikan tidak pernah menjadi isu bagi rakyat Sarawak,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2020 yang diraikan esok dan lusa.

Beliau risau dengan sentimen perkauman yang semakin menular di Semenanjung dan rakyat bernasib baik kerana sentimen sedemikian tidak berlaku di negeri ini. 

“Semua ini akan merosakkan keharmonian kaum di negara ini. Jika pemimpin tidak mengambil tindakan ke atas ekstremisme ini, Malaysia akan menjadi huru-hara,” katanya.

Beliau, sementara itu, berkata, rakyat Sarawak harus menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Sarawak dalam mengharamkan kemasukan pelampau agama ke negeri ini.

Kata beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, tindakan itu demi melindungi keharmonian dan perpaduan kaum di Sarawak.

“Semua anak Sarawak perlu bersatu padu dan tidak berpecah belah. Kita berharap pada musim perayaan ini, anak Sarawak akan membincangkan tentang pembangunan masa depan Sarawak,” katanya.

“Kita semua ialah anak Sarawak.  Kita sayangi Sarawak. Anak Sarawak yang kini berada di luar negara juga perlu menunjukkan keprihatinan mereka dengan memberi sokongan padu terhadap dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak bagi memastikan masa depan Sarawak yang lebih cerah,” katanya lagi.