SEBUYAU: Tender projek pembinaan Jambatan Batang Lupar yang pembinaannya telah diambil alih Kerajaan Sarawak bakal dibuka pada suku pertama tahun ini, manakala rekabentuknya sedang disiapkan.

Perkara ini disahkan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

“Hari ini telah membuktikan bahawa projek pembinaan Jambatan Batang Lupar sememangnya telah diambil sepenuhnya oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan menggunakan bajet sendiri.”

“Rekabentuk sedang disiapkan, manakala panjang jambatan pula adalah sepanjang 5.1 kilometer” ujarnya.

Kata Julaihi, Jambatan Batang Lupar ini akan menghubungkan Sebuyau ke Jambatan Triso.

“Sasaran baru kita ialah pada suku petama tahun ini, dan jambatan ini akan ditender untuk menyambung Sebuyau ke Triso” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Jambatan Batang Lupar (Bahagian Samarahan) dan Sebuyau New Town (Residential Area) serta Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi Kampung Seberang Sebuyau.

Sementara itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menambah jalan raya untuk menuju ke tapak Jambatan Batang Lupar turut akan dibina.

“Tetapi sebelum jambatan Batang Lupar dibina, jalan raya menuju ke tapak jambatan Batang Lupar serta Triso akan turut dibina,” tambahnya.

Kerajaan Sarawak, katanya, bertanggungjawab membayar pampasan kepada pemilik tanah yang tanahnya terpaksa diguna untuk pembangunan.

Justeru beliau menyeru semua pihak khususnya di kawasan Sebuyau untuk beri kerjasama sepenuhnya kepada kontraktor demi membangunkan Sebuyau dari sudut infrastruktur untuk tingkat sosioekonomi masyarakat setempat.