KANOWIT: Selepas 32 jam berada di menara telekomunikasi di Bukit Memaloh di sini, akhirnya seorang lelaki warganegara Indonesia berjaya  dipujuk dan dibawa turun dengan selamat oleh pihak bomba, semalam.

Lelaki berkenaan disedari berada di menara berkenaan sekitar 8 pagi Isnin sebelum pihak polis dimaklumkan mengenainya. 

Beliau difahamkan nekad menaiki menara itu selepas berselisih faham dengan rakan sekerja.

Mangsa dan rakan sekerjanya bekerja di ladang kelapa sawit Nanga Dap di sini.

 Lelaki berusia  35 tahun itu berjaya dipujuk dan dibawa turun dari aras 150 meter menara berkenaan kira-kira pukul 3.51 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Arrahman Chik berkata,  pihaknya melakukan pemujukan selama sekitar setengah jam sebelum lelaki itu perlahan-lahan diturunkan melalui tali penyelamat melalui tepi menara.

Pada jam 3.20 petang dua anggota bomba naik ke atas menara berkenaan untuk memujuknya.

Selepas berjaya diturunkan, kata Arrahman, lelaki Indonesia itu segera ditenangkan bagi memudahkan  usaha mendapatkan butir peribadinya.