SIBU:  Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh mengakui semua pihak cuba menjatuhkannya di kerusi Bawang Assan pada PRN akan datang kerana dengan berbuat demikian, parti diterajuinya juga akan jatuh.

“Jika saya kalah di Bawang Assan, PSB juga akan jatuh. Oleh itu, semua parti komponen GPS menyasarkan dan bergabung untuk menjatuhkan saya di Bawang Assan,” ujarnya seperti dipetik sebuah akhbar tempatan hari ini.

GPS terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada pertemuan dengan ahli-ahli Unit Bumiputera PSB Bawang Assan, Ahad lepas.

Wong sebelum ini mengesahkan bertanding mempertahankan kerusi Bawang Assan pada PRN12 nanti. Calon di lima lagi kerusi lain juga telah diumumkannya.

Beliau berkata, PSB tidak gentar menghadapi saingan sama ada daripada GPS mahupun PH.

Sebagai sebuah parti bebas katanya, PSB bersedia berdepan mana-mana parti serta menempuh apa-apa juga cabaran dan halangan semasa pilihan raya nanti.

Beliau turut mengakui PSB akan ditentang sengit oleh GPS dan PH dalam PRN-12 nanti.

PRN-12 dijangka diadakan sekitar 14 bulan dari sekarang.

“Sehubungan itu, semua ahli PSB harus bersatu dan bekerjasama agar parti dapat menang sekurang-kurangnya 26 kerusi, jika tidak 40, 50 atau 60 kerusi,” kata Soon Koh.

Penganalisis percaya, jumlah kerusi yang disasarkan PSB itu agak tinggi, dan percaya ia tidak akan dapat mencapai sasaran itu.