SIKAP ego beberapa pemimpin Pakatan Harapan membawa padah. Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis membuktikan segala-galanya dan kemenangan jentera Barisan Nasional (BN) memberi petunjuk kuasa rakyat boleh menumbangkan ego PH.

Tewas di Kimanis membuktikan rakyat muak dengan janji kosong PH sebelum ini. Bermacam-macam alasan diberikan oleh pemimpin.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu selepas calonnya Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

PH merupakan rakan sekutu Warisan di Sabah bersama-sama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). Kekalahan tersebut memaksa pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan ‘bedah siasat’ bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan.

Ia secara langsung untuk mendengar pandangan rakyat Sabah terhadap pemerintahan Kerajaan PH. Bedah siasat tersebut mencari kelemahan serta punca rakyat Sabah kecewa dengan pemerintahan kerajaan sekarang.

Kenyataan Perdana Menteri menganggap kekalahan Warisan pada pilihan raya tersebut mungkin disebabkan pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan pemerintahan Kerajaan PH. Beliau yakin lambat laun rakyat di Sabah, akan faham dan merasai bahawa pemerintahan kerajaan hari ini adalah lebih baik, berbanding kerajaan terdahulu.

Dr Mahathir mengakui ada ketika parti gagal berhubung dengan rakyat untuk menerangkan perkara itu selain menceritakan pencapaian kerajaan.

Sejauh manakah kebenaran tersebut? Adakah ia hanya sebagai alasan untuk meredakan keadaan selepas tewas di Kimanis.

Bagi Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, biarpun keputusan PRK Parlimen Kimanis tidak memihak kepada calon Warisan, namun kerajaan akan terus memberi bantuan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Shafiee berjanji rakyat Kimanis akan dibantu kerana lebih 10,000 pengundi telah menyokong parti tersebut. Langkah Shafiee mendapat pujian pemerhati politik.

Bagaimanapun, apakah janji tersebut bukan sekadar janji kosong untuk rakyat? Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu kekalahan itu dijadikan iktibar untuk memperbaiki keadaan bagi meraih sokongan rakyat.

Ini membuktikan, kekalahan Kimanis seharusnya menjadi iktibar kepada PH. Kerajaan menghormati keputusan rakyat di Kimanis yang mungkin dipengaruhi isu-isu tersendiri di peringkat negeri Sabah.

Ini termasuk isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang membangkitkan kemarahan rakyat tempatan. Untuk rekod, pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun lepas bagi menggantikan tiga dokumen yang dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-burung.

Cadangan pelaksanaan PSS itu tular di media sosial sehingga menimbulkan kontroversi berikutan tindakan pihak tertentu memutarbelit fakta hingga berlaku kekeliruan. Yang jelas, Kimanis merupakan iktibar bukan sahaja kepada PH tetapi mana-mana parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.

Perlu dihadam akan isu-isu sokongan belia terhadap semua parti dan cari cara untuk meraih sokongan. Ini tidak harus diabaikan. Perbincangan dengan semua pemimpin peringkat akar umbi juga penting bagi menghasilkan formula dan strategi berkesan untuk memastikan sokongan anak muda, kerana mereka mewakili komposisi pengundi yang besar.