KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagaimana yang didakwa terkandung dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri bertarikh 20 Januari.

Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad berkata,  surat berkenaan yang tular semalam adalah palsu dan bertujuan mengeruhkan lagi suasana politik.

Zuraida telah diberi  surat tunjuk sebab dan diberi tempoh dua minggu untuk menjawabnya kerana dikatakan mengkritik Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka.

Dalam surat berkenaan beberapa borang keahlian Bersatu yang mendakwa ada permohonan Zuraida bagi menyertai parti itu turut disertakan.

“Dengan tegas dinyatakan bahawa tularan tersebut adalah palsu dan merupakan kerja jahat dan amatur pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh atas situasi politik dalaman parti yang berlaku sekarang ini, “ katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

“Zuraida Kamaruddin adalah merupakan Naib Presiden Keadilan dan sehingga kini masih fokus menjalankan tanggungjwab dan tugasannya sebagai anggota parti dan Ketua Cabang Keadilan Ampang,” katanya.

Beliau turut mengecam tindakan menggunakan kepala surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam isu berkenaan.

“Saya turut ambil maklum mengenai surat tersebut yang menggunakan kepala surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.Tindakan itu juga sangat tidak bertanggungjawab apabila mengaitkan kementerian dengan isu politik,” ujarnya.