SIMANGGANG: Bahagian Sri Aman menerima banyak peruntukan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas dengan keseluruhannya berjumlah RM500 juta. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak 13 projek rakyat membabitkan kos sebanyak RM146 juta.

“Selain itu, kerajaan turut meluluskan projek-projek lain yang berjumlah RM295 juta, dengan kebanyakannya ialah projek fizikal,” katanya.

“Ini bermakna di bawah RMK-11, lebih kurang RM500 juta diperuntukkan untuk pembangunan di Sri Aman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Negeri Bil 1/2020 di sini, semalam.

Katanya lagi, beberapa projek baharu turun dibangunkan di bawah projek rakyat, termasuk menaik taraf tebingan Batang Lupar atau tapak Pesta Benak.

Pelaksanaan segala projek itu  dijangka akan mengubah wajah Sri Aman.