KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg akan mencari inisiatif atau formula baharu bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik khasnya mereka yang masih bergantung kepada pengangkutan awam di negeri ini.

Menurut beliau, pada masa ini beliau sedang mengkaji bagaimana cara kerajaan negeri dapat membantu golongan tersebut.

“Ada seorang pengguna di Miri terpaksa membelanjakan lebih RM60 sehari untuk tambang bas sahaja dari Tudan ke Bandaraya Miri. Kalau dua tiga hari, dah berapa?”

“Jadi, saya cari formula, nanti saya umumkan. Saya kaji dahulu. Semoga pendapatan negeri kita semakin meningkat” katanya

Sehubungan itu melalui usaha ‘revenue re-engineering’ yang menjana pendapatan negeri, beliau berharap kerajaan dapat melaksanakan inisiatif baharu dan seterusnya meringankan beban rakyat.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) hari ini.

Sementara itu, bercakap mengenai pengangkutan awam di negeri ini, beliau berkata sistem pengangkutan awam yang baik adalah penting bagi menggurangkan kesesakan lalu lintas.

“Semalam saya balik dari Sri Aman, berhenti di Serian, dari Serian saya balik ke Kuching dan sampai di Kota Samarahan sekitar jam 4 petang. Saya lihat kesesakan lalu lintas yang sangat panjang,”

“Oleh sebab itulah, saya nak wujudkan ‘Autonomous Rapid Transit’ (ART) supaya pengangkutan awam kita lebih sistematik,”

Katanya ART adalah salah satu formula kerajaan negeri bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuk Bas Hidrogen sebagai pengangkutan awam yang menggunakan bahan-bahan api mesra alam sekitar.

Tambahnya lagi, penambahbaikan sistem pengangkutan awam yang lebih sistematik juga adalah antara salah satu formula yang akan beliau gunakan untuk membantu golongan miskin.