KUCHING: Menteri Pengangkutan Lee Kim Shin berpendapat kualiti perkhidmatan bas awam di negeri ini perlu ditambahbaik dan operator perlu menetapkan jadual yang efektif.

Hal ini kerana kementeriannya mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas awam sedia ada pada masa sama berusaha memastikan program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) dilaksanakan.

“Saya menunggu bas di hadapan City Inn (Jalan Abell) pada pukul 6 pagi hari ini untuk ke Bako. Saya menunggu sehingga pukul 7.50 pagi tetapi bas tidak datang.

“Saya bertanya kepada operator bus mereka memaklumkan pemandu bas sakit…Saya mengambil masa satu jam, 45 minit untuk sampai ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dari Pasar Stutong menggunakan bas sedangkan jaraknya hanya 8km,” katanya

Beliau berkata demikian selepas merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan bas awam di Kuching dan Miri.

Di Miri pula katanya, perkhidmatan bas awam masih diperlukan orang ramai untuk mereka turun bekerja setiap hari.

“Di Permayjaya, pada pukul 5.30 pagi, bas pertama penuh dengan penumpang, bas seterusnya, pada 6.30 pagi juga penuh. Penumpang-penumpang ini menaiki bas untuk turun bekerja setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap operator bas awam di negeri ini meneliti dan memberi penekanan kepada jadual perjalanan bas mereka.