KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian menyeru rakyat Sarawak untuk mengamalkan budaya integriti terutama di dalam persekitaran kerja.

Menurut beliau, budaya integriti penting untuk Sarawak menuju ke arah status negeri maju menjelang tahun 2030.

“Jadikan tahun 2020 sebagai permulaan untuk mulakan budaya integriti agar dalam masa 10 tahun akan datang Sarawak menjadi makmur dan kuat ataupun sekurang-kurangnya kita boleh mempamerkan kepada masyarakat di luar sana yang kita boleh kekal makmur dan kuat kerana kita ada integriti,” katanya di dalam ucapan semasa merasmikan Hari Integriti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di sini, Selasa.

Kata beliau lagi, semua rakyat Sarawak menaruh harapan tinggi kepada kerajaan yang bersih pentadbirannya.

“Ini adalah penting supaya dalam masa 10 tahun akan datang, kita akan mampu melakukan segala perkara dari segi pendidikan, kesihatan, pejabat perdagangan di luar negara dan miliki syarikat keselamatan dalaman tersendiri,” jelasnya.