CYBERJAYA: Pendaftaran e-Tunai Rakyat yang akan tamat pada 9 Mac depan kini mencecah 2.9 juta permohonan sehingga Ahad, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 2.2 juta permohonan diluluskan dengan peruntukan RM66 juta telah disalurkan kepada rakyat.

“Untuk mempromosikan inisiatif e-Tunai Rakyat, saya telah pergi ke pelbagai lokasi di seluruh negara, di Semenanjung Malaysia, dan juga di Malaysia Timur.

“Saya dengan suka citanya melaporkan bahawa terdapat sambutan menggalakkan daripada rakyat untuk inisiatif ini dan kami yakin bahawa rakyat di seluruh negara bersedia menerima penggunaan teknologi pembayaran tanpa tunai yang lebih besar,” katanya semasa berucap pada pelancaran ‘Cashless Ecosystem for Cyberjaya with Malaysia National QR’ di RekaScpe, pada Isnin.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan sedia mengkaji untuk memasukkan wang tuntutan program e-Tunai Rakyat ke dalam akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar.

Dalam pada itu jelasnya, kemudahan e-pembayaran mesti tersedia secara meluas, selamat dan mudah digunakan.

Ia mesti mudah seperti wang tunai selain kemudahan infrastruktur pembayaran pusat untuk meningkatkan penggunaan.

Selain itu kata Guan Eng, ia termasuk platform pembayaran runcit yang menyumbang secara positif kepada matlamat berkenaan.