ISU peralihan kuasa antara Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak selesa-selesai. Meskipun ketetapan dibuat bahawa Dr Mahathir perlu melepaskan jawatan  Perdana Menteri kepada Anwar, seperti dijanjikan oleh PH menjelang pilihan raya umum lalu, namun, ia bagai tidak pernah menemui kesudahan.

Isu  peralihan kuasa begitu sensitif, malah bagai duri dalam daging. 

Dr Mahathir yang memimpin  PH melakar kejutan dalam dunia politik dengan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU-14 pada 9 Mei 2018 bagi membentuk Kerajaan Persekutuan setelah menumbangkan BN.

Hakikatnya, tidak ada mana-mana pemimpin yang dengan mudah dan rela mahu melepaskan kuasa. Kita telah lihat sendiri di seluruh dunia dan di negara kita, bagaimana ada pemimpin yang bergayut dengan kuasanya untuk puluhan tahun.

Pemimpin itu sendiri dan para penyokongnya tidak akan mahu pemimpin berkenaan meletakkan jawatan atau berundur untuk digantikan oleh pemimpin lain. Alasannya, pemimpin itu masih mempunyai banyak agenda, idea dan rancangan yang hendak dilaksanakan. Juga, masih perlu menyelesaikan masalah negeri atau negara seolah-olah hanya pemimpin itu sahaja yang  mampu menyelesaikan masalah negara, dan masalah negara akan selesai sepenuhnya jika tempoh yang lebih lama diberi kepadanya untuk menerajui negara. Realitinya, masalah negara tidak akan selesai walaupun pemimpin berkenaan diberi seratus tahun sekalipun untuk memimpin, malah besar kemungkinan masalah negara akan semakin banyak, rumit dan besar jika pemimpin terbabit terus mempertahankan kuasanya. 

Dr Mahathir sendiri pernah berkata beliau sedang mempersiapkan negara sebaik mungkin supaya penggantinya nanti dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan baik. 

Bagi yang mahu tokoh mereka diangkat menjadi pemimpin utama pula, pasti sentiasa resah gelisah dan mahu melihat pemimpin sedia ada berundur dengan segera. 

Kini ada desakan dari dalam PH dan PKR agar Dr Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri. Mereka bukan sahaja mahu Anwar segera menjadi Perdana Menteri atas alasan yang kita semua sedia maklum, tetapi mahu Dr Mahathir segera berundur. 

Bagi puak berkenaan, Dr Mahathir bukan sahaja sudah tidak popular dan menjadi beban, tetapi juga sudah hilang arah dalam memimpin negara. 

Kenyataan sedemikian tidak semestinya benar dan mungkin sahaja dibuat-buat untuk menjustifikasikan mengapa pemimpin berusia 94 tahun itu perlu berundur. 

Dr Mahathir sedar bukan semua orang sayangkan beliau. Ketika diajukan soalan oleh media sempena ulang tahun pertama PH memerintah pada Mei lalu, Dr Mahathir menjawab: “Pastinya terdapat orang menentang saya, yang mahu saya mati, tetapi ada juga orang yang mesra, mereka datang bersalaman dengan saya, senyum dan mengatakan ‘I love you’.” 

Dr Mahathir punya logik dan caranya sendiri ketika menjawab soalan media. Kadangkala kata-katanya begitu sinis dan menyengat. 

Dalam soal peralihan kepemimpinan, Dr Mahathir  pernah berkata perjanjian jadi Perdana Menteri untuk dua tahun ialah satu pengorbanan, dan syarat itu perlu diterima, kerana beliau mengakui ketika itu, yang utama bukan Perdana Menteri, tetapi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Selepas desakan bertubi-tubi, akhirnya awal minggu ini Dr Mahathir  menyerahkan nasibnya kepada Majlis Presiden yang terdiri daripada wakil empat komponen, iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Maksudnya, kini bola itu secara pintar ditendang oleh Dr Mahathir ke arah Majlis Presiden PH. 

Persoalannya, siapakah yang akan berani membuka gelanggang untuk menunjukkan pintu keluar kepada Dr Mahathir? Adakah Anwar berani berbuat demikian ketika beliau sedar segala kata-katanya perlu diungkapkan dengan hati-hati agar Dr Mahathir tidak tersinggung dan marah. Daripada enam wakil PKR dalam Majlis Presiden PH, kita tahu bukan semua menyokong Anwar? 

Yang jelas, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tian Chua lebih memihak kepada Dr Mahathir untuk meneruskan tempoh perkhidmatannya. Di sinilah ironinya. Sepatutnya Azmin terutamanya menyokong Anwar jadi Perdana Menteri tetapi untuk sekian lama, Azmin sudah menjadi musuh Anwar dalam parti dan menjadi penghalang utama beliau menjadi Perdana Menteri. Azmin sehingga kelmarin tetap kekal dengan pendirian itu. 

Itulah sebabnya semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mahu kesemua enam wakil PKR dalam majlis itu membawa suara yang sama atau senada semasa membincangkan isu peralihan kuasa ketika membuat ketetapan berkenaan dalam mesyuarat majlis berkenaan nanti.  Maksudnya, mereka tidak boleh membawa suara peribadi kerana yang mengikat mereka ialah keputusan atau pandangan parti. 

Persoalannya, adakah Azmin akan mendengar nasihat itu atau beliau yang menunjukkan belangnya. 

Kemungkinan untuk Azmin berdegil dan berkeras dengan pendirian peribadinya adalah lebih tinggi berbanding dengan kemungkinan untuk mendengar pandangan dan nasihat Saifuddin. 

Sebab, Azmin sedar akan nasibnya jika Dr Mahathir sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Tentu beliau sudah dapat mengagak nasib beliau dan para para penyokongnya, termasuk Zuraida Kamaruddin yang kini sudah diberi surat tunjuk sebab apabila Anwar sudah menjadi Perdana Menteri nanti? 

Memang aneh, bagaimana Naib Presiden itu dibenarkan untuk mengkritik Presiden partinya secara terbuka. Kini, 10 pengerusi PKR Negeri mendesak agar Zuraida dipecat.

Seyogia diingat, tidak ada pemimpin yang tidak boleh ditukar ganti. Tidak ada pemimpin yang terlalu hebat, apalagi apabila pemimpin itu sudah berusia 94 tahun dan sudah menyalurkan sebahagian besar idea besarnya pada pusingan pertama  selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri. 

Tempoh 24 tahun sudah lebih daripada cukup untuk melaksanakan sebarang idea hebat.  Tetapi bagi rakyat biasa, satu daripada tanda kehebatan pemimpin ialah menepati janji dan tahu bila dia harus berundur. 

Pemimpin itu tidak harus terus dimainkan oleh ilusi dan fantasi bahawa dia masih popular dan dirinya masih diterima rakyat, ketika rakyat  sebenarnya tertanya-tanya bila lagi pemimpin itu akan berundur. 

Sementara itu, kita hendak bertanya, berapa kalikah Dr Mahathir sudah melawat Sarawak dan negeri-negeri lain sejak menjadi Perdana Menteri? Berapa kalikah beliau sudah melawat Miri, Sibu, Bintulu? 

Yang kita mahukan ialah Perdana Menteri yang adil kepada semua kaum dan negeri, selain memiliki wawasan, kebijakanaan dan kearifan untuk melakar masa hala tuju negara supaya negara ini lebih stabil, makmur dan sejahtera. Rakyat sudah muak dengan isu peralihan kuasa dan mahu melihat isu ini dimuktamadkan demi kestabilan politik negara dan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.