Sentimen rakyat semasa memberikan impak kepada keputusan PRK Kimanis.  Ini memberikan kejutan kepada parti Warisan Pakatan Harapan apabila BN berjaya mengalahkan Warisan Pakatan Harapan.

Majoriti undi 2,029 diperoleh BN pada kali ini merupakan satu lonjakan undi kerana pada pilihan raya umum lepas hanya menang tipis sebanyak 15 undi sahaja.  Ketika itu Anifah memperoleh 11, 942 undi sementara, Karim memperoleh 11,786 undi. Calon parti Harapan Rakyat Sabah pula mendapat 1,300 undi.

PRK Kimanis kali ini menyaksikan Mohamad Alamin menang apabila memperoleh 12,706 undi manakala Karim Bujang memperoleh 10,677 undi.  Kimanis tempat bersejarah bagi PRK kerana merupakan tertinggi dari segi peratusan keluar mengundi dalam sejarah PRK sejak pilihan raya umum ke-14.

Membaca sentimen rakyat

Apabila tepat pukul 12.00 tengah hari sudah mencatat lebih 50 peratus rakyat Kimanis mengundi maka ia membawa isyarat tertentu dalam politik. Yang pertama ialah rakyat tidak sabar-sabar untuk membuat pilihan mereka dan sanggup datang awal bagi memastikan niat dan hasrat mereka berjaya disampaikan kepada pemerintah atau kerajaan.Yang kedua, ada sesuatu yang terbuku dalam hati pengundi yang pengundi ini yang mahukan pihak lain tahu dan sedar apa-apa yang sedang berlaku.  Ternyata senario ini juga pernah berlaku pada pilihan raya umum yang lalu dan ini membawa kekalahan kepada Barisan nasional selepas lebih 60 tahun berkuasa.

Kali ini senario berbeza. Parti Warisan mesra Pakatan Harapan seolah-olah dihukum oleh pengundi.  Ini menunjukkan dinamika politik di Malaysia semakin baik. Penduduk Kimanis terdiri daripada 61.93 peratus bumiputera Islam yang terdiri daripada Melayu Brunei, Bisaya dan Bajau mana

Populasi majoriti di Parlimen Kimanis terdiri daripada bumiputera Islam sekitar 61.93 peratus. Mereka kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Brunei, Bisaya dan Bajau.  Yang kedua terbesar ialah kumpulan bumiputera bukan Islam sekitar 31.92 peratus. Kebanyakan mereka ialah Kadazan-Dusun dan Murut manakala Cina hanya mempunyai 3.66 peratus selebihnya lain-lain etnik adalah 2.49 peratus.

Di kawasan bumiputera Islam dan bukan islam terdapat fenomena  yang unik dalam politik Kimanis. Poster-poster calon dan parti  didapati merata-rata di jalan utama dan jalan kecil kampung. Namun hampir sukar ditemui bendera parti dan poster calon dipacakkan di rumah. Ini juga memberikan isyarat politik yang sukar dibaca.

Lazimnya, dalam budaya politik lama di Sabah, apabila rumah dipacak bendera parti tertentu bermakna sahlah ia merupakan penyokong kuat. Namun sokongan ini boleh berubah jika ditawarkan sejumlah wang  dan digantikan dengan pacakan bendera calon atau parti lain. Demikian menurut informan politik Sabah.

PSS

Isu Pas Sementara Sabah (PSS) sebenarnya isu komunikasi politik, iaitu sejauh manakah isu ini diberikan pencerahan secara menyakinkan oleh juru kempen oleh BN atau Warisan PH.  Ia membawa kebaikan dari segi ciri biometrik yang mampu membuat profiling pendatang asing. Dokumen lama sebelum ini tidak ada ciri ini. Bayaran pembuatan PSS ini dikenakan RM300 yang boleh digunakan untuk menampung biaya kos membiayai PATI di Sabah jutaan ringgit jumlahnya. Ia bukan untuk memberikan kerakyatan Sabah kepada pendatang. Sebaliknya pas sementara yang lebih efisien.

Namun naratif pembangkang pula menganggap ini satu malapetaka lebih-lebih lagi sekiranya kerajaan membenarkan pendatang di Sabah memasuki Semenanjung Malaysia dengan menggunakan Pas Sementara Sabah (PSS) kerana tidak ada kena mengena dengan PSS di semenanjung.  PSS hanya melibatkan)kerajaan Sabah, Imigresen kerana dalam Perjanjian MA63, imigresen di bawah kuatkuasa (kerajaan negeri) Sabah dan kerakyatan Sabah juga berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ini adalah respon apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman menyatakan  pemegang PSS dibenarkan memasuki Semenanjung dan menghabiskan maksimum satu bulan dengan kebenaran Jabatan Imigresen. Isu ini menjadi tular.

Yang membimbangkan lagi ialah pemegang PSS  ini beranak pinak dan membentuk tiga generasi dan ini dikhuatiri akan diberikan kerakyatan. Naratif inilah lebih tular daripada sisi positif penggunaan PSS ini. Apabila  tidak dapat membezakan kebenaran dan kepalsuan, pengundi semakin keliru dan apabila keliru sukar membuat keputusan yang lebih tepat. Politik ialah mainan kuasa sentimen pengundi dan politik persepsi lebih hidup daripada realiti.  Justeru, timbullah desakan untuk menyemak semula dan menangguh PSS. Desakan ini, disampaikan dalam bentuk peti undi. Kini selepas kekalahan ini, maka kerajaan Negeri Sabah dan Putrajaya perlu menilai semula PSS tersebut. 

Ekonomi

Rakyat mengharapkan perubahan kerajaan di Putrajaya memberikan perubahan yang lebih baik daripada kerajaan lalu. Namun setelah 20 bulan tidak banyak dirasakan oleh rakyat bawahan. Kos hidup semakin tinggi,harga barangan semakin naik, banyak bantuan kini dipotong, dikurangkan malah jumlah penerima pun berkurangan sedangkan keperluan pihak memerlukan semakin meningkat.

Ini menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap prestasi PH bukan sahaja berlaku di Semenanjung akan tetapi mewabak ke Sabah dan Sarawak. Isu nasional kini mempengaruhi pola pengundian dalam aspek isu ekonomi rakyat.

Memang terdapat reformasi institusi seperti mengundi umur 18 tahun. Namun perkara lebih besar seperti pelantikan ketua SPRM, Ketua Polis Negara perlu melalui jawatankuasa parlimen masih belum dilaksanakan.  Reformasi institusi lebih cenderung merupakan agenda golongan kelas menengah dan elit. Bagi rakyat biasa mereka hanya mahukan pendapatan mereka lebih baik daripada sebelum ini, upah atau gaji mereka lebih tinggi daripada sebelum ini.  Dalam suasana ini gaji masih di takuk lama sedangkan harga barang dan kos perkhidmatan semakin meningkat. Hal ini menyebabkan rakyat kurang berpuas hati terhadap prestasi PH. Ketidakpuasan hati ini diserlahkan dalam bentuk undi protes.

Putrajaya Sabah Sarawak

Ketua Menteri Sabah Shafei Apdal pernah mengumumkan bahawa cadangan membina lapangan terbang baru dalam beberapa tahun akan datang bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Hal ini kerana KKIA mempunyai kapasiti yang terhad dan hanya boleh menerima 9 juta penumpang setahun sedangkan lebih 8 juta penumpang keluar masuk menerusi KKIA. Dari segi jangka panjang jumlah ini akan meningkat dan persediaan perlu dibuat dengan membuat lapangan terbang baru.

Kerajaan negeri Sabah juga berhasrat untuk menaik taraf sistem perkhidmatan kereta api termasuk memperluaskannya ke daerah lain di negeri ini. Bagi Shafei Apdal, perkhidmatan kereta api walaupun mahal, ia tidak perlu menjadi sangat canggih kerana sistem kereta api yang ada tidak menghubungkan beberapa bandar utama di negeri ini.

Namun dikatakan kedua-dua cadangan ini ditolak oleh Putrajaya. Pengangkutan ialah perkara di bidang kuasa Persekutuan.  Hal ini tular meskipun hitam putih keputusan belum lagi dimuktamadkan. Apabila tular, pengundi di Kimanis terpengaruh dengan isu mengenai nasib dan masa depan pembangunan negeri Sabah.  

Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi Sabah dan Sarawak belum terserlah lagi.  Royalti 20 peratus belum lagi ditunaikan, sedangkan di Kelantan Putrajaya membuat pembayaran RM400 juta hingga tular pembelian kereta mewah kerajaan negeri Kelantan. Perkara ini tentulah memberikan ketidakpuasan hati kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak terpinggir?

Sebenarnya yang berlaku di Sabah hampir sama di Sarawak apabila Menteri Kerja Raya berasal dari Sarawak, Baru Bian mengumumkan memaklumkan penangguhan projek tiga jambatan, Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan yang merupakan projek pembinaan jambatan di kawasan pesisir atau luar bandar. Sedangkan pembinaan jambatan Batang Lupar misalnya adalah dibiayai separuh oleh kerajaan Sarawak dan sebahagian lagi oleh kerajaan persekutuan.

Namun pimpinan Ketua Menteri Sarawak  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat keputusan merakyat apabila tegas untuk meneruskan pembinaan jambatan Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan walaupun kerajaan persekutuan telah menulis kepada kerajaan Sarawak mengenai penangguhannya.

Kerajaan negeri Sarawak mengambil alih projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan, Kuching, membabitkan nilai RM98.5 juta; Jambatan Kuala Kemena, Bintulu (RM467 juta); Jambatan Batang Lassa, Mukah (RM597.58 juta); Jambatan Batang Saribas, Betong (RM496 juta); Jambatan Batang Krian, Betong (RM174 juta) dan Jambatan Batang Paloh, Mukah (RM298.98 juta).

Hal ini kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) memahami kepentingan tiga jambatan ini bagi melengkapkan perhubungan di kawasan pesisir. Penduduk luar bandar  berhak menikmati pembangunan agar memberikan impak ekonomi setempat dan meningkatkan taraf hidup mereka. Isu perhubungan jalan atau perhubungan merupakan isu asas di Sabah dan Sarawak. 

Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya perlu melihat masalah pembangunan dan keperluan rakyat sabah dan Sarawak daripada kacamata negeri Sabah dan Sarawak. Kegagalan melihat keperluan setempat di negeri Borneo ini akan menyebabkan penolakan rakyat dan akan dihukum oleh rakyat atau pengundi  sebagaimana berlaku dalam kekalahan parti Warisan mesra Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Kimanis! 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.