Sunday, September 25, 2022

Sarawaku Sayang, intu Sarawak, jaga Sarawak

Secara Rawak

Tanggal 13 Januari lalu, secara rasminya Program Sarawakku Sayang telah memulakan jelajah di bumi kenyalang dengan membuka tirainya di Kota Samarahan. Sinonim dengan genap tiga tahun pemerintahan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau telah merasmikan program tersebut.

Program dengan tema ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ itu merupakan satu program turun padang kerajaan negeri bersama agensi kerajaan negeri untuk mendekati rakyat Sarawak dengan lebih dekat lagi.

Apa yang lebih penting, program Sarawakku Sayang ini mengetengahkan lebih 81 inisiatif Abang Joe sebagai Ketua Menteri Sarawak selama tiga tahun. Beliau yang semakin gah menerajui kepimpinan negeri meneruskan legasi kepimpinan terdahulu telah menunjukkan karisma beliau sebagai seorang pemimpin. Komitmen tinggi beliau dalam menyantuni rakyat diserlahkan dengan lebih 81 inisiatif yang telah dilakukan beliau selaku peneraju kepimpinan negeri.

Selain mengetengahkan 81 inisiatif Abang Joe, program Sarawakku Sayang turut diisi dengan pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat selain jualan makanan serta produk makanan dan minuman.

Rakyat juga berpeluang untuk mendapatkan akses secara langsung berkaitan perkhidmatan, produk, nasihat dan aktiviti-aktiviti lain yang memberi manfaat kepada rakyat. Kemuncak kepada aktiviti yang diketengahkan oleh kerajaan negeri pimpinan GPS ini adalah persembahan artis termuka tempatan turut menjadi penyeri kepada program ini.

Logo berbentuk hati yang menyerlahkan bendera Sarawak merupakan logo rasmi Program Sarawakku Sayang. Slogan atau cogan kata ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ telah dipilih bagi menanam semangat cinta dan sayangi bumi kenyalang dalam kalangan rakyat Sarawak.

Ia amat bertepatan dengan perjuangan GPS yang memperjuangkan hak negeri Sarawak seperti apa yang termaktub dalam perjanjian MA63. Sentimen kenegerian telah menjadi salah satu agenda perjuangan GPS dalam mengemudi bahtera bumi kenyalang.

Persoalannya adalah, adakah sentimen kenegerian ini dapat menyuntik semangat anak Sarawak terus berdiri teguh dibelakang GPS semasa PRN 12 nanti? Sejauh manakah sentimen ini dapat memberi implikasi kepada pola pengundian rakyat Sarawak pada PRN 12 nanti? Sama-sama kita renungkan.

Berlandaskan slogan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ untuk program Sarawakku Sayang ini, seorang presiden parti komponen GPS iaitu Datuk Seri Tiong King Sing yang merupakan Presiden PDP menegaskan bahawa orang luar tidak mempunyai hak menerajui Sarawak. Ini jelas menggambarkan bahawa hanya parti politik dan anak tempatan yang perlu diberi mandat untuk menerajui kepimpinan bumi kenyalang.

Hakikatnya, menerusi Program Sarawakku Sayang ini, ia merupakan suntikan baharu bagi GPS dalam terus menyantuni rakyat Sarawak. Ia menjurus kepada memantapkan lagi persediaan GPS untuk menempuh PRN 12 nanti. Ia merupakan permulaan Tahun 2020 yang amat tepat untuk GPS menyuntik semangat dalam kalangan rakyat agar terus berdiri teguh dibelakang parti yang menjadi kerajaan negeri semasa PRN 12 nanti.

Persoalannya adalah, adakah Program Sarawakku Sayang ini menjadi penandaarasaan kepada PRN 12? Adakah PRN 12 akan diadakan sebaik selesai Program Sarawakku Sayang ini menjelajah ke setiap bahagian di Sarawak? Terpulang kepada anda semua untuk mentafsir apa yang ada disebalik Program Sarawakku Sayang ini.

Apa pun, GPS makin jelas dengan perjuangan dalam memperjuangkan hak negeri ini yang menjurus kepada persediaan untuk mendapatkan mandat daripada rakyat pelbagai etnik di Sarawak pada PRN 12 nanti.

Apa yang pasti, PRN 12 nanti sudah pasti akan menyaksikan persaingan sengit di antara pelbagai entiti politik di Sarawak. Bagi GPS, ia merupakan julung kali akan bertanding dalam PRN 12 sebagai sebuah entiti politik tempatan serta menggunakan logo baharu parti gabungan ini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru