KIMANIS: Hari ini adalah hari terakhir untuk kempen bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut sama berkampung di Kimanis ini berkata, beliau dapat melihat sambutan dan sokongan oleh para pengundi kepada Barisan Nasional (BN) amat positif.

“Saya dapat merasa dan melihat sambutan yang kuat kepada BN. Mana-mana saya pergi ramai yang menyatakan ingin ubah balik kepada BN.

“Saya lihat ini adalah satu petanda positif untuk BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis ini,” ujar beliau.

Selain itu, Mahdzir turut melahirkan rasa kesal terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“SPR sepatutnya mengambil tindakan terhadap Warisan yang semakin agresif dalam berkempen. Saya rasa laporan telah dibuat dan SPR harus menegur.

“Kalau sampai sudah runtuhkan dan turunkan bahan kempen parti lawan, itu bukan sahaja salah tapi melanggar Akta Pilihan Raya.

“Tindakan mereka ini sangat-sangat tidak berpendidikan,” tegas beliau.

Sepanjang kempen PRK Kimanis ini, terdapat banyak bukti menunjukkan Warisan melanggar Akta Pilihan Raya malah tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

Lebih mengecewakan apabila penyokong Warisan membuang bahan kempen BN dan ia disaksikan oleh pemimpin Warisan, Datuk Peter Anthony.

Video yang menunjukkan kejadian itu tular di media sosial malah terdapat satu lagi video tular yang membabitkan Peter di mana dia menceroboh markas BN di PDM Kuala Pos.

Sehingga kini SPR terus mengunci mulut dan membiarkan akta pilihan raya dilanggar begitu sahaja.