KUCHING: Pesakit buah pinggang di Sarawak akan mendapat bantuan klinikal dan sokongan daripada Kerajaan Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan klinikal itu meliputi pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF), suntikan Erythropoietin (EPO), rawatan hemodialisis dan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

Manakala bantuan sokongan merujuk kepada kepada bantuan mesin, bantuan pengangkutan dan transplan. “Bantuan mesin ini merupakan penempatan mesin hemodialisis di pusat rawatan dengan keutamaan di pusat rawatan kerajaan dan tidak termasuk kos penyelenggaraan mesin.

“Bantuan pengangkutan memberi keutamaan kepada pesakit di kawasan luar bandar. “Bantuan transplan hanya merangkumi kos penginapan dan pengangkutan bagi pesakit yang dalam proses pemulihan setelah menjalani pemindahan buah pinggang di Semenanjung Malaysia dengan syor daripada Pakar Nefrologi Kerajaan sahaja,” katanya.

Fatimah Abdullah

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Program Pemberian Inisiatif KGC di Pustaka Negeri. Fatimah turut memberitahu, bantuan untuk pesakit buah pinggang ini tiada had umur dan bukan daripada kalangan penjawat awam, pesara dan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambahnya, pemohon ini tergolong dalam kumpulan B40 atau M40 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,020 sebulan atau mengikut paras garis kemiskinan (PGK) semasa.

“Pemohon tidak mendapat subsidi rawatan dan bantuan pengangkutan daripada mana-mana agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan atau penerima bantuan tetapi masih memerlukan bantuan sokongan seperti bantuan pengangkutan,” ujarnya.

Katanya lagi, bantuan akan diberhentikan serta merta sekiranya pesakit tidak hadir untuk menerima rawatan sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa makluman dan disahkan meninggal dunia.

Begitu juga jika JKMS mendapati pesakit tidak lagi layak mendapat bantuan dengan pengesahan menerusi lawatan tinjauan ataupun pengesahan dari pusat rawatan. Keputusan pemberhentian bantuan oleh JKMS adalah muktamad. Bagaimanapun kata Fatimah, pesakit boleh membuat rayuan sekiranya alasan adalah munasabah.