KUCHING: PAS Sarawak menyatakan keyakinannya untuk memenangi kerusi sulung di Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya negeri akan datang atas kelebihan Muafakat Nasional.

Menurut Ketua Penerangannya Zharudin Narudin, kehadiran PAS kali ini sudah pasti lebih diyakini pengundi termasuk pengundi Barisan Nasional (BN) dahulu yang bakal memberi undi tambahan untuk memenangkan PAS. 

“PAS mempunyai kelebihan apabila kita bersama di dalam Muafakat Nasional (MN) yang mana lambang BN lebih dikenali di kawasan luar bandar Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sepertimana Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS Sarawak juga melihat tiada kepentingan kerjasama antara GPS dengan PAS di negeri Sarawak setakat ini kerana mereka juga seteru utama PAS terutama di kerusi Beting Maro. 

Bagi PAS, di Beting Maro Pakatan Harapan (PH) pula tiada nyawa apabila pilihan raya lepas undi mereka hanya sebanyak 103 berbanding undi rosak 104 iaitu beza di bawah 1 undi. Melihat kepada prestasi yang meningkat ini, PAS kini bertumpu sepenuhnya di beberapa kerusi yang bakal menjadi kerusi kemenangan sulung PAS bersama Muafakat Nasional kelak

Katanya, PAS telah menyertai lima siri pilihan raya di DUN Beting Maro dan Batang Lupar dengan peningkatan undi yang sangat positif.

Semalam PAS  Sarawak bersama-sama PAS Batang Lupar telah berjaya menghantar kumpulan pertama petugas pilihan raya untuk menghadiri kursus khas pilihan raya serta pemantapan organisasi di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman dekat Terengganu selama seminggu dan lawatan kerja serta kemahiran di Kelantan.

Bagi pemerhati, meskipun PAS yakin mendapat kemenangan sulung, ia sukar dilakukan, kerana keupayaan parti itu mendapat undi besar  sehingga hampir menang di Beting Maro dalam beberapa PRN lalu adalah kerana sabotaj dalam PBB, dan masalah itu difahamkan telah dapat ditangani.