SIBU: Koperasi yang tidak aktif atau dorman digesa untuk lebih proaktif agar dapat memberikan manfaat kepada ahli masing-masing. Pengarah Kanan Strategik Institut Koperasi Malaysia (IKM) Sharina Abdullah berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang ekonomi demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Jika koperasi tidak aktif, maka ia tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada ahli. “Setiap koperasi perlu mengetahui kedudukan mereka agar dapat melonjakkan pendapatan hingga jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat mengenai program yang ditawarkan oleh IKM sepanjang 2020 pada Program Ke Arah Kemakmuran Bersama (KKB) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.

Sebanyak 350 ahli koperasi, kakitangan awam serta usahawan mengambil bahagian dalam program tersebut. Sharina berkata, pada 2008 sebanyak 1,993 daripada 14,247 koperasi tidak aktif dan sebanyak 2,512 koperasi adalah dorman berbanding 1,481 yang tidak aktif dan 1,577 yang dorman daripada 13,899 koperasi pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 281 koperasi berada pada kluster besar, 545 di kluster sederhana, 1,589 kluster kecil dan 11,832 koperasi pada kluster mikro, ujarnya. Jelasnya lagi, sebanyak 9,742 koperasi yang aktif pada 2018 dengan keanggotaan seramai 5,837,617 orang.

Jelas beliau, anggota koperasi juga perlu terlibat dalam perniagaan yang menguntungkan agar dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Katanya, IKM turut menyediakan pelbagai program seperti Program MiRiCLe; Keusahawanan Koperasi, Transformasi Minda IR4.0; Sustainable Development Goal (SDG) dan Social Entrepreneur (SE) kepada pihak koperasi.