KOTA BHARU: Kereta Mercedes yang dibeli bagi kegunaan Menteri Besar Kelantan tiada kaitan dengan one off RM400 juta diberi Perdana Menteri akhir tahun lepas.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, duit tersebut sehingga sekarang belum lagi diusik. Itu pun katanya belum lagi diambil kira dengan lebihan Belanjawan 2019 sebanyak RM45 juta.

“Kalau ambil kira semuanya jadi RM445 juta sekarang duit Kerajaan Negeri yang kita ada. Malah lebihan belanjawan berlaku tiga tahun berturut-turut.

“Kita rancang dan berjimat wang sehingga berlaku lebihan wang Kerajaan Negeri. Sedangkan ada orang kata kita tidak pandai mentadbir,” katanya pada kuliah di Medan Ilmu hari ini.

Semalam viral di media sosial Kerajaan Kelantan membeli Mercedes bagi kegunaan Menteri Besar. Sedangkan menurut Pejabat Menteri Besar rancangan membeli kenderaan itu dibuat pada 2018.

Malah ia sebagai menggantikan kenderaan rasmi Menteri Besar yang digunakan sejak arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, di mana sekarang berusia lebih 12 tahun.

Mohd Amar juga berkata, Kerajaan Negeri merancang menggunakan duit pemberian khas Perdana Menteri bagi meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat termasuk menyediakan rumah mampu milik.