KERAJAAN Sarawak teguh dan tegas menuntut Petronas membayar cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang dikeluarkan di negeri ini. Sarawak yakin, pendirian tersebut selari dengan Ordinan Cukai Jualan Negeri yang memberi hak kepada Sarawak untuk berbuat demikian.

Pada 10 Disember 2019, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Petronas memohon semakan kehakiman bagi membatalkan notis penilaian SST bernilai RM1.3 bilion. Kini, kes-kes tuntutan SST Kerajaan Sarawak terhadap syarikat Petronas berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuching dan sedang diperhatikan secara dekat oleh rakyat sendiri.

Ramai pemimpin Sarawak percaya kes ini sangat penting bagi anak-anak Sarawak kerana isu menuntut hak negeri ini amat dekat di hati mereka setelah sekian lama bersamasama wilayah lain membentuk negara Malaysia.

Pemimpin dan rakyat percaya kes ini bukan hanya berkaitan dengan Kerajaan Sarawak, malah ia turut melibatkan rakyatnya kerana ia merupakan hasil untuk rakyat negeri ini.

Pada prosiding Selasa lalu di Kuching, Mahkamah Tinggi menunda kes saman sivil Kerajaan Negeri terhadap Petronas kepada 23 Januari depan. Pasukan peguam Petronas sebelum itu mengemukakan usul untuk mengetepikan kehadiran Pesuruhjaya Kehakiman bagi mendengar kes tersebut atas alasan seseorang yang bergelar Pesuruhjaya Kehakiman tidak mempunyai status hakim bertauliah, hanya dianggap hakim dalam percubaan.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, peguam mewakili Petronas berhujah bahawa Kontroler Cukai Jualan Negeri tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk mengeluarkan notis kepada Petronas.

Justeru kata mereka, kes seharusnya dipindahkan ke Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bagi ulasan kehakiman akan dilakukan pada 3 hingga 5 Februari depan.

Mengulas isu tersebut, kebanyakan pemimpin Sarawak bertegas bahawa tanah dan harta ini milik rakyat yang tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja. Meneliti perjanjian terdahulu, Sarawak merupakan salah satu rakan kongsi Petronas dan hal ini jelas menunjukkan Sarawak berhak menerima sebahagian daripada hasil yang diperoleh selama ini.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yakin, berdasarkan fakta yang ada, Sarawak mampu memenangi kes saman sivil terhadap Petronas.

Katanya, walaupun kes ini atas nama Kerajaan Sarawak tetapi secara prinsipnya ia adalah antara Petronas dengan rakyat negeri ini.

Perkara lepas yang berlaku berkaitan isu minyak dan gas di negeri ini merupakan sejarah yang patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Yang penting, generasi akan datang mahu melihat bagaimana pemimpin hari ini bertindak dan menjalankan kewajipannya dalam berjuang, bertindak, seterusnya memperoleh kejayaan bergaya menuntut hak, biarpun ada rakyat sendiri yang memperkecil usaha murni ini.