KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peruntukan RM450 juta bagi tujuan pelaksanaan e-Tunai Rakyat dengan anggaran 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go.

Menurut Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan, pihaknya bersetuju dengan cadangan insentif membentuk negara yang menggunakan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya di sektor peruncitan.

Namun begitu katanya, insentif itu dilihat tidak difikirkan secara menyeluruh oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hal ini jelasnya, kerana proses e-Tunai Rakyat itu boleh mendatangkan isu keselamatan digital apabila 15 juta rakyat Malaysia terpaksa mengambil gambar kad pengenalan masing-masing dan gambar ‘selfie‘ untuk tujuan pengesahan.

“DPIM gusar dengan terdedahnya maklumat penting setiap rakyat Malaysia yang diambil oleh pengendali e-dompet atau ‘third party‘ ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam masa yang sama ulasnya, insentif itu juga dilihat tidak menyeluruh kerana sistem e-dompet hanya digunakan di bandar-bandar sahaja.

“Penduduk di luar bandar dan pedalaman tidak mendapat insentif kerajaan ini kerana kekangan teknologi dan logistik.

“Nilai RM30 ini sebenarnya agak besar untuk kebanyakan rakyat Malaysia. Kami melihat hanya sebilangan kecil rakyat Malaysia yang mendapat manfaat ini termasuklah pengendali e-dompet.

“Peruntukan RM450 juta ini seharusnya dilaksanakan dengan cermat melalui insentif yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Berikutan daripada itu pihaknya berpendapat alangkah terbaik adalah dengan peruntukan itu disalurkan kepada insentif yang lebih penting seperti vaksin percuma influenza untuk anak-anak.

Cara tersebut jelasnya, menjadikan ia inisiatif bersama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, selain berharap agar Jemaah Menteri PH lebih bijaksana dalam membawa insentif rakyat.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan insentif berkenaan yang akan dimanfaatkan kira-kira 15 juta rakyat negara ini yang berusia 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM100,000 setahun.

Rakyat Malaysia yang layak, boleh menuntut insentif e-Tunai Rakyat bernilai sekurang-kurangnya RM30, bermula jam 8 pagi hari ini.