SIBU: Suara tangisan bayi yang keluar dari kawasan semak mengejutkan seorang lelaki ketika membuang sampah di luar rumahnya di sini, pagi semalam.

Difahamkan bayi cukup sifat itu baharu dilahirkan dan masih bertali pusat, ditinggalkan di bawah pokok pisang berhampiran rumahnya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki berusia 45 tahun itu terus memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis.

“Bayi perempuan yang masih sihat. Dia ditemui ketika pemilik rumah ketika membuang sampah di luar rumah pada jam 9.30 pagi.

“Bayi itu diletakkan di bawah pokok pisang. Ketika membuang sampah, pengadu mendengar suara menangis di bawah pokok pisang di situ,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.