KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menasihati Timbalan Ketua Menteri ll, P Ramasamy dan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran untuk tidak memaksa umat Islam terlibat meraikan Sambutan Pesta Ponggal.

Menurut ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh,  kedua-dua mereka mengecam dan mempertikaikan arahan Kementerian Pendidikan untuk semua sekolah melarang pelajar Islam menyertai Pesta Ponggal yang diisytiharkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“DUPP mempertahankan arahan Kementerian Pendidikan tersebut dan keputusan JAKIM itu kerana selaras dengan tuntutan agama bagi memastikan akidah umat Islam dari dicemari dengan unsur-unsur yang mempunyai spiritual keagamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

“DUPP bimbang jika terdapat Menteri-menteri yang bersikap dengan sedemikian rupa akan menambahkan kesan negatif terhadap keharmonian dan perpaduan antara semua kaum yang dilihat semakin kritikal kerana gagalnya Kerajaan PH dalam menangani isu besar ini,” katanya lagi.

“Tidak cukup dengan penentangan tulisan Jawi oleh Dong Jiao Zong yang sengaja mencabar keputusan mahkamah dan sensitiviti umat Islam, diikuti beberapa isu yang terkait dengan sensitiviti umat Islam sebelum ini, kini muncul pula isu yang memaksa pelajar Islam di sekolah untuk sambut Pesta Ponggal sedangkan ia ‘diharamkan’ oleh Jakim,” ujarnya.

DUPP, katanya, memberi amaran kepada P Ramasamy dan M Kulasegaran agar tidak terus menerus melakukan sesuatu atau mengeluarkan sebarang kenyataan biadab dengan mencampuri urusan umat Islam yang berpegang teguh kepada agama dan prinsip yang mesti dihormati selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.