KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbang untuk menubuhkan Bank Digital, bagi melengkapi dasar ekonomi digital negeri ini.

Untuk itu, menurut Ketua Menteri,  Sarawak akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menubuhkan bank digital berkenaan.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata akan meneliti mengenainya, selaras dengan inisiatif kerajaan Malaysia mahu mengeluarkan lesen Bank Digital.

“Sekarang, Malaysia mahu mengeluarkan lesen untuk Bank Digital, jadi kita lihat dulu kerana lesen ini dikeluarkan oleh Bank Negara.

“Kita lihat apa yang dapat dibuat kerana saya juga berminat untuk memohon lesen ini bagi menubuhkan Bank Digital Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hub Inovasi KCGC yang ditubuhkan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Cina Kuching (KCGCCI) di Wisma Chinese Chambers, di sini petang semalam.

“Sarawak berminat  mempunyai bank digital.Kita sudah ada aplikasi peruncitan digital seperti ‘Sarawak Pay’ yang kini bekerjasama dengan ‘Union Pay’ China yang bersifat global,” jelasnya.

Sebelum ini Sarawak menubuhkan bank sendiri sebagai model kewangan bagi membantu membiayai projek strategik negeri ini.

Penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS)  itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mencapai pelan transformasi sosioekonominya.

Objektif utama penubuhan DBOS adalah untuk memastikan hasil yang dijana daripada aktiviti pembiayaan projek strategik negeri ini akan memakmurkan ekonomi negeri dan rakyat.