KABONG: Pusat Penjaja Kabong akan dinaik taraf dengan menambah kemudahan di pusat tersebut bagi menjadikan pusat berkenaan lebih kondusif dan selesa.

ADUN Kabong, Mohd Chee Bin Kadir menyatakan perkara berkenaan sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat khas bagi memperkasa projek yang boleh memberi impak besar kepada penduduk di bawah jagaan beliau pagi tadi.

Pada hujung tahun 2019 sebuah bangunan khas yang dijenamakan sebagai Pusat Penjaja Kabong telah siap dibina di kawasan pekan di sini.

Bagaimanapun pusat penjaja berkenaan masih belum dilengkapi dengan beberapa kemudahan untuk kegunaan para penjaja.

Lantaran itu, pada tahun ini beliau menyasar untuk menaik taraf pusat berkenaan dengan baki peruntukan yang ada supaya tempat itu dapat dilengkapi dengan tangki air, papan tanda, bilik persalinan dan juga pendawaian elektrik yang sempurna untuk kemudahan penjaja yang berurusan di situ.

Mesyuarat yang berlangsung jam 9 pagi itu turut dihadiri Pegawai Daerah Kabong, Haji Mohamad Rashdan Haji Hazemi, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Saratok,Bilong Engkasan, Wakil Jabatan Kerja Raya Saratok, Adrian Linggi Manjan, Wakil Sarawak Energy Berhad, Encik Ho Cheng Khung dan beberapa ahli mesyuarat lain.

Dalam perbincangan tersebut, semua ahli mesyuarat telah bersetuju untuk menggunakan baki peruntukan projek untuk tujuan itu.

Sebaik selesai mesyuarat Chee bersama yang lain telah membuat tinjauan ke pusat penjaja kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketika ditemui Chee memberitahu kerja-kerja menaik taraf pusat penjaja itu akan terus dilaksana dalam masa terdekat ini memandangkan peruntukan sudah sedia ada untuk pelaksanaan projek berkenaan.