KEMAMAN: Pemuda PAS kini sedang mengemaskini kesediaan seluruh anggotanya untuk menerajui pemerintahan selaku tulang belakang utama kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri yang bakal dibentuk.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, perkembangan politik negara mutakhir ini menuntut pihaknya mengadakan persiapan rapi menghadapi segala kemungkinan berlakunya perubahan.

Menurutnya, aspek utama diberi perhatian adalah untuk memposisikan anggota Pemuda PAS bagi memastikan kelancaran urus tadbir negara menerusi kerajaan, serta menjamin sebarang cabaran ditangani.

“Kami tidak ambil mudah terhadap gelojak perkembangan yang sedang berlaku sekarang. Kerajaan PH amat tidak stabil, ia bukan rahsia lagi. Kemungkinan kerajaan bertukar, itu boleh terjadi. Tetapi kami (Pemuda PAS) tidak ambil mudah.

“Kami akan menjadi tulang belakang parti. Ketika sama kami mahu memastikan, sebarang perubahan tidak akan mendatangkan sebarang mudarat kepada rakyat,” ujarnya pada Permukiman Pemuda PAS Malaysia, kelmarin.

Menurut jurutera profesional itu, para Pemuda PAS sudah dipersiapkan bukan sahaja rohani dan jasmani, tetapi juga kompetensi dan kepakaran khusus yang digembleng secara kolektif dengan dipandu oleh kepimpinan tertinggi.

Pun begitu, beliau tetap memperingatkan semua anggota Pemuda PAS untuk tidak berasa selesa, sebaliknya mengambil iktibar dan pengalaman pernah ditempuh Gerakan Islam lain agar sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada.

Terutama katanya, aspek dukungan rakyat bagi bersama PAS dan Muafakat Nasional untuk menegakkan agenda pentadbiran berteraskan Islam, yakni bukan kerana penolakan amarah terhadap PH semata-mata.

Terangnya, PAS mahu rakyat bersama mensejahterakan negara tercinta ini dan Pemuda PAS akan memastikan anggotanya menjadi penggerak penting menjayakan setiap agenda.

“Kita mahu PAS memerintah dengan mendapat mandat dari kepercayaan padu sokongan dan dukungan rakyat, serta faham dan bersama agenda negara. Bukan memilih PAS kerana menolak pihak lain. Kami sendiri Pemuda PAS Pusat mahu menjadi contohnya.

“Di permukiman ini, kami melaksanakan aspek ‘good governance’, di antaranya mengadakan ‘mid year review assessment’ terhadap semua jabatan dan lajnah di dalam Pemuda untuk melihat sejauh mana pencapaian separuh penggal melalui sistem ‘management dashboard’ dan ‘balance scorecard’.

“Kemudiannya kami mengadakan ‘budget estimation’ bagi penggal seterusnya untuk mengelakkan daripada over budget ataupun ‘budget projection’ supaya kami boleh membuat dasar penjimatan pada setiap program yang telah kami tetapkan,” terangnya.

Permukiman Pemuda PAS Malaysia telah berlangsung selama dua hari dalam jadual padat yang dilangsungkan di Darul Iman Training Centre (DITC), di sini.