BINTULU: Dua lelaki berasal dari Pulau Pinang dijatuhkan hukuman penjara satu tahun dan denda sebanyak RM 1.46 juta setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Bintulu setelah didapati bersalah kerana memiliki sejumlah 146 ekor binatang spesis terlindung iaitu tenggiling (Manis Javanica).

Kedua- dua tertuduh, Tan Choon How selaku tertuduh pertama dan Kelvin Por Seong Wooi(tertuduh kedua) didapati bersalah dii bawah Seksyen 37(2)(b) dan 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Kesalahan itu dilakukan di perairan Bintulu pada awal April 2018 dan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Bintulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak.

Manakala, dua lagi tertuduh, Do Doan Lai, warganegara Vietnam dan Anoop Pathak, yang merupakan warganegara India didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Keputusan dibuat selepas bicara penuh di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.

Norhamizah, sebelum menjatuhkan hukuman berkata aktiviti penyeludupan hidupan liar adalah kesalahan serius dan berleluasa di negeri ini dan Mahkamah Alam Sekitar (Environmental Court) akan mengenakan hukuman setimpal sebagai penghalang dan pengajaran untuk pesalah dan orang awam.

Mengikut rekod, ini merupakan kes terbesar di negara ini mengikut bilangan rampasan tenggiling.

Selain itu, sebuah kapal dan barang yang dirampas diperintah untuk dilupuskan (Disposal) di bawah ordinan sama.

Jabatan Hutan diwakili Timbalan Pendakwaraya Mohd Muhaimin Zakaria dan TPR Ronald Felix Hardin, manakala Tan Choon How, Kelvin Por Seong Wooi dan Anoop Pathak diwakili oleh peguam Hii Chee Wung sementara Do Doan Lai diwakili peguam Muhammad Izayyeem Azim.