Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bermula 1 Januari 2020, iaitu larangan merokok di semua tempat makan termasuk tempat makan terbuka.

Selain daripada itu, penguatkuasaan juga dijalankan di bawah Peraturan 12 (1)(a) dan 12(1)(b) PPKHT 2004, iaitu semua Tuan Punya Premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan mempamerkan tanda larangan merokok secara jelas dan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Penguatkuasaan serentak yang telah berjalan di seluruh Sarawak melibatkan pegawai-pegawai penguat kuasa yang terdiri dari kalangan Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam daripada setiap Bahagian dan Daerah. Sehingga 14 Januari 2020, penguatkuasaan ini telah dijalankan di 9,082 buah premis tempat makan, di mana sebanyak 347 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM83,750.00.

Dari jumlah notis tersebut, sebanyak 259 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d), di mana sebanyak 44 notis telah dikeluarkan kepada warga asing. Di samping itu, sebanyak 62 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(a), tujuh (7) notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b), dan 15 notis kesalahan lagi di bawah Peraturan 13(1), iaitu Orang Belum Dewasa yang merokok.

Selain dari itu, tiga (3) notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah peraturan 11(1)(j), iaitu kesalahan merokok di kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi dan satu (1) notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(b), iaitu merokok di kawasan hospital atau klinik.

Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan, mereka dikenakan kompaun sebanyak RM250. Untuk kesalahan pertama, kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah dalam tempoh SATU bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b) ,Tuan Punya Premis yang telah menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala, bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350.

Berdasarkan bilangan notis kesalahan yang dikeluarkan setiap hari, masih terdapat golongan perokok dan pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan larangan merokok ini walaupun bilangannya semakin berkurangan berbanding tiga hari pertama penguatkuasaan dijalankan. Justeru itu, pihak JKN Sarawak memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat sentiasa terjamin.

Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi. Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut. Sekian, terima kasih. 

DR. CHIN ZIN HING
PENGARAH KESIHATAN NEGERI JABATAN KESIHATAN NEGERI SARAWAK