KIMANIS: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hairan di mana peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dahulu kepada Datuk Seri Mohd Shafie Afdal semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM34.8 bilion.

Jelas beliau, sewajarnya Shafie harus memanfaatkan peruntukan yang diterima daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak untuk pembangunan, kebajikan, bantuan, subsidi dan juga peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Sabah.

“Selama tujuh tahun Shafie Afdal menjadi Menteri KKLW dan beliau menerima peruntukan sebanyak RM 34.8 bilion,” katanya.

Abdul Rahman Dahlan

“Tujuan Najib Razak melantik beliau kerana ia mahu orang Sabah membangunkan pembangunan di Sabah dan hanya orang Sabah yang memahami tentang kehendak dan keunikan negeri ini.

“Apabila mendapat RM34.8 bilion, kenapa tidak mengutamakan keperluan rakyat negeri Sabah?,” katanya semasa Diskusi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis anjuran Penerangan UMNO Malaysia,]seperti dipetik portal UMNO.

Rahman yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu ada menyebut bahawa keistimewaan ini diberikan kepada Shafie.

“Janganlah kamu cemburu kerana inilah keperluan orang Sabah dan biarlah Shafie mendapat kelebihan daripada menteri-menteri yang lain,” jelasnya.

“Pada masa yang sama segala projek di bawah RM50 juta boleh diluluskan oleh KKLW tanpa dirujuk oleh Kementerian Kewangan dan hanya diputuskan di peringkat kementeriannya,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sekarang ini Kerajaan Warisan mahu menuntut 80 peratus daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sesuatu yang belum ada dalam tangan yang diharapkan, tetapi semasa menjawat Menteri RM34.8 bilion sudah ada dalam tangan. Kenapa tidak membangunkan Sabah?,” tegasnya.

“Harapan orang Sabah semasa beliau menjawat jawatan menteri terlalu tinggi termasuk saya sendiri dan negeri-negeri lain pun memahami bajet yang diberikan untuk Sabah itu terlalu tinggi,” katanya.