PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengharamkan apa-apa perayaan namun akan memberikan pendapat mengenai etika yang perlu dipatuhi umat Islam yang menghadiri sesuatu perayaan jika diminta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, perkara itu dijelaskan kepada mesyuarat Jemaah Menteri selepas surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perayaan Ponggal dikeluarkan.

“Kami (Jakim) telah ditanya pendapat kami oleh KPM. Apabila ditanya, kami memberikan pendapat kami dan dalam pendapat itu kami mengemukakan kepada KPM cara terbaik untuk menjelaskannya kepada pihak awam dan pihak yang terlibat yang merupakan umat Islam.

“Apa yang mereka katakan mengenainya bukan kami yang tulis atau karang. Mereka yang karang,” katanya kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM100 juta untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok di Kementerian Kewangan di sini pada Rabu seperti dipetik Bernama.

Ponggal atau pesta menuai merupakan perayaan utama masyarakat India khususnya bagi golongan petani, dan jatuh pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Isu itu diperkatakan ekoran surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020 yang dikeluarkan bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam penglibatan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan Ponggal di sekolah.