LUBOK ANTU: Hospital Sri Aman yang baharu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Menurut beliau projek hospital baharu yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ itu sudah mencapai status 82 peratus siap pada masa sekarang dengan perlaksanaannya kini dilihat mengalami kelewatan daripada jadual sebenar.

“Struktur bangunannya kini sudah siap dan kini kita sedang menyiapkan kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan termasuk kerja pemasangan bahagian dalaman yang akan mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan.

“Apabila selesai, pihak kementerian akan mengambil alih projek hospital baharu itu dengan tempoh selama enam bulan diperlukan bagi melaksana ujian dan pertauliahan bagi memastikan segalanya berjalan lancar,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerjanya ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu, di sini.

Beliau turut memberitahu bahawa kontraktor projek hospital baharu tersebut sudah diberi dua kali lanjutan masa iaitu 460 hari dengan lanjutan masa ketiga mungkin akan dipertimbangkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kelak.

Sementara itu Lee pada sidang media itu turut mengumumkan lapan buah klinik kesihatan akan dibina iaitu di Miri, Tabuan Jaya, Serian, Siburan, Semalau, Nanga Kemaleh, Long Napir dan Simpang Bukut.