SHAH ALAM: Rata-rata pengguna kecewa apabila gagal menebus wang percuma RM30 yang dibiayai kerajaan bagi program e-Tunai Rakyat yang dilancarkan bermula semalam.

Menurut Sinar Harian melalui tinjauan Sinar Harian di Facebook ketiga-tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go e-Wallet yang bekerjasama dengan kerajaan bagi program tersebut mendapati kebanyakan pengguna mengadu gagal mengakses selepas memuat turun aplikasi selain tidak dapat membuat penebusan.

“Sebahagian pengguna kelihatan marah kerana mendakwa sistem lembab dan terpaksa mencuba beberapa kali, namun masih tidak berjaya,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, jelasnya, pengendali Facebook ketiga-tiga aplikasi itu dilihat memberi respons memaklumkan gangguan berlaku pada sistem kerana kemasukan serentak permohonan penebusan yang sangat tinggi, selain sedang cuba memperbaiki masalah yang timbul.

Selain itu, Sinar Harian mendapati kebanyakan pengguna juga mahu menebus tunai percuma pada hari pertama kerana memaklumkan antara syarat penebusan ditetapkan pengendali e-dompet adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’, sedangkan tempoh penebusan diberikan adalah bermula 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020.