KUCHING: Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sarawak menyasarkan seluruh negeri akan dilengkapi dengan bekalan air pada 2025.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bekalan air dan elektrik amat penting untuk menarik pelabur, selain untuk kegunaan harian penduduk.

“Kita membekalkan air kepada penduduk luar bandar menggunakan laluan jalan pesisir dan jambatan, bukan lagi melalui saluran bawah tanah,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar di sini malam tadi.

Jelas beliau, apabila paip dibina melalui jambatan dan jalan raya pesisir, maka pemetaan data menggunakan kaedah digital dapat dilakukan.

Katanya lagi, selepas pemetaan data dilakukan, dan jika terdapat sebarang masalah, ia akan mengeluarkan petanda dan dapat diatasi dengan segera.

Abang Johari menjelaskan dalam tempoh tiga bulan lagi, kawasan Asajaya akan dilengkapi dengan bekalan air sepenuhnya dari Kuching dengan kaedah digital, melalui Jambatan Batang Samarahan.